Sabtu, 16 Oktober 2021 | 10:47pm
Seniman batik, Allahyarham Sarkasi Said (kiri) dan Sasterawan, Allahyarham Aziz Fakir. - Foto AGENSI
Seniman batik, Allahyarham Sarkasi Said (kiri) dan Sasterawan, Allahyarham Aziz Fakir. - Foto AGENSI

Singapura kehilangan dua ikon tersohor

SINGAPURA: Republik ini kehilangan dua ikon tersohor dunia Melayu susulan pemergian sasterawan, Allahyarham Aziz Fakir dan seniman batik, Allahyarham Sarkasi Said, kelmarin.

Ketiadaan mereka menjadi kehilangan besar pada dunia seni visual dan kesusasteraan di Singapura, merentasi budaya agama atau kaum.

Dua tokoh yang disegani di Singapura terutama dalam kalangan masyarakat Melayu, selamat dikebumikan selang sehari di Pusara Abadi.

Sasterawan dan guru pesara, Aziz, 80, meninggal dunia kelmarin selepas lama menghidap bronkitis dan rebah di sebuah pusat pemulihan di Kampung Admiralty.

Seniman batik tersohor, Sarkasi, 81, yang juga dikenali sebagai 'Baron of Batik', mengalami kerosakan pada kedua-dua ginjalnya dan meninggal dunia di rumahnya pada malam kelmarin serta dikebumikan semalam.

Kehilangan begitu dirasakan dengan pemergian dua insan yang dianggap pakar dalam bidang masing-masing.

Presiden Halimah Yacob menyifatkan Allahyarham Sarkasi sebagai seorang yang mempunyai minat yang mendalam dan berdedikasi dalam memperjuangkan hasil seninya.

Perdana Menteri, Lee Hsien Loong, turut merakamkan rasa dukacitanya dan terkesan menyusuli berita pemergian permata seni itu.

Dalam catatan Facebook, Hsien Loong menyifatkan Allahyarham sebagai insan yang tidak pernah lupa akan asal usulnya dan berusaha sedaya upaya untuk memupuk barisan pelapis penggiat seni batik dalam kalangan generasi seterusnya.

"Saya akan sentiasa mengingati Pak Sarkasi kerana beliau menghasilkan beberapa baju batik yang saya kenakan bagi acara-acara kebangsaan," katanya.

Allahyarham Sarkasi yang dikenali dengan panggilan 'Baron of Batik' meninggal dunia pada Khamis malam pada usia 81 tahun.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, turut berdukacita dengan pemergian Allahyarham Sarkasi.

Katanya, sebagai seorang seniman veteran yang berkecimpung dalam bidang seni selama hampir 60 tahun, Allahyarham Pak Sarkasi dianggap sebagai antara perintis dan penggiat seni batik Singapura yang amat disegani.

"Saya yakin ramai dalam kalangan kita pernah menikmati karyanya yang dipamerkan di serata Singapura seperti di Istana, Bangunan Parlimen, pejabat Pemerintah, kedutaan dan hospital.

"Bakatnya juga terkenal pada peringkat antarabangsa, menerusi pameran beliau di luar negara," katanya dalam catatan Facebook kelmarin.

Hasil kecemerlangan Sarkasi, beliau menerima pelbagai anugerah dari dalam dan luar negara termasuk Anugerah Jauhari Perintis Berita Harian pada 2015.

Pada 2020 pula, beliau dianugerahkan Pingat Budaya oleh Presiden, penghormatan kesenian tertinggi di Singapura.

Sepanjang hayatnya, arwah juga tidak lupa golongan kurang bernasib baik selain mendermakan hasil kerja seninya kepada rumah kebajikan.

Beliau turut menyumbang sebagai guru seni sukarela di Penjara Changi, Pusat Pemulihan Dadah Sembawang dan Rumah Tumpangan Kanak-Kanak Darul Ma'wa.

Memberi sanjungan buat Cikgu Aziz pula adalah wartawan pesara dan penulis veteran Singapura, Mohd Raman Daud, yang menyifatkan arwah sebagai guru berdedikasi dari segi kerjaya dan gigih menyuburkan taman sastera negara.

Pelakon veteran Joe Jasmi, atau nama sebenarnya Jasmi Md Nor, yang juga presiden pertubuhan PRIHATIN (Penggiat Seni Melayu Singapura) berkata mereka sebenarnya merancang mengadakan acara kebajikan bagi penggiat seni termasuk Allahyarham.

"Malangnya, kami mendapat berita arwah telah pulang ke Rahmatullah, beliau banyak berjasa kepada negara dan bangsanya sebagai seorang pendidik yang berdedikasi sejak Singapura belum merdeka lagi.

"Beliau mengajar di pulau-pulau selatan Singapura ketika itu, termasuk Sekolah Pulau Seking serta menulis dan menerbitkan beberapa buku yang menyimpan banyak kenangan beliau.

"Kebanyakannya berkaitan bidang pendidikan dan suasana kehidupan di pulau-pulau selatan Singapura seperti Senja Di Pantai dan Aku Di Sebuah Pulau," katanya.

Berita Harian X