Selasa, 5 Oktober 2021 | 5:17pm
Ferdinand ‘Bongbong’ Marcos Jr menyatakan pencalonannya untuk presiden Filipina dalam siaran Facebook Live. - Foto AFP
Ferdinand ‘Bongbong’ Marcos Jr menyatakan pencalonannya untuk presiden Filipina dalam siaran Facebook Live. - Foto AFP

Pewaris Marcos mahu mencalonkan diri sebagai presiden Filipina

MANILA: Anak lelaki bekas diktator Filipina, Ferdinand Marcos hari ini berkata beliau akan mencalonkan diri sebagai presiden pada pilihan raya 2022.

Ferdinand 'Bongbong' Marcos Jr - yang mempertahankan perang dadah kontroversi Presiden Rodrigo Duterte dan menyokong hukuman mati bagi pemerdagangan manusia - menyatakan pencalonannya dalam siaran Facebook Live.

"Hari ini saya mengumumkan hasrat saya untuk mencalonkan diri sebagai presiden Filipina dalam pilihan raya Mei 2022 yang akan datang," kata ahli politik berusia 64 tahun itu, bergabung dengan pesaing yang semakin ramai untuk menggantikan Duterte.

"Saya akan membawa... menyatukan kembali kepemimpinan negara kita."

Marcos Jr berada di tempat kedua di belakang anak perempuan Duterte, Sara, dalam tinjauan Penyelidikan PulseAsia baru-baru ini mengenai pilihan pemilih untuk presiden, walaupun Sara telah menafikan rancangan untuk mencalonkan diri.

Petinju hebat, Manny Pacquiao dan Datuk Bandar selebriti, Francisco Domagoso telah mengesahkan bahawa mereka akan bertanding untuk jawatan presiden Filipina.

Kecenderungan untuk jawatan tertinggi di negara itu muncul selepas kegagalan Marcos Jr untuk merebut jawatan naib presiden pada 2016, selepas kalah tipis kepada Leni Robredo.

Kalah dalam pilihan raya adalah tamparan bagi keluarga Marcos, yang telah disingkirkan ke Amerika Syarikat (AS) selepas kejatuhan memalukan keluarga itu pada 1986.

Marcos dan isterinya Imelda dituduh melakukan rasuah besar-besaran semasa berkuasa.

Marcos Jr menuduh Robredo melakukan penipuan pilihan raya dan menghabiskan hampir lima tahun untuk mendapatkan perintah undang-undang bagi mencabar undi terbabit.

Mahkamah tinggi negara itu menolak protes itu pada Februari.

"Mari kita mengembalikan warga Filipina yang berganding satu sama lain dalam memberi khidmat kepada negara kita, menghadapi krisis dan cabaran masa depan bersama," kata Marcos Jr pada hari ini.

"Bergabunglah dengan saya dalam tujuan mulia ini, dan kita akan berjaya."

Sekiranya usaha kempen untuk pemilihan presiden Marcos Jr itu berjaya, itu akan menjadi kemunculan semula politik yang luar biasa bagi keluarga Marcos.

Imelda sebelum ini menyatakan beliau mengimpikan anaknya - seorang senator dari 2010 hingga 2016 - menjadi pemimpin negara. - AFP

Berita Harian X