Rabu, 22 September 2021 | 1:18pm
Gambar fail menunjukkan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte (kiri) bersama bekas Ketua Polis Filipina, Ronald Dela Rosa (kanan), - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte (kiri) bersama bekas Ketua Polis Filipina, Ronald Dela Rosa (kanan), - Foto AFP

Filipina pertahankan dasar perangi dadah

MANILA: Pelaksana utama dasar perang dadah Filipina berkata beliau lebih rela didapati bersalah, malah digantung oleh mahkamah Filipina daripada mematuhi arahan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Bekas Ketua Polis Filipina, Ronald Dela Rosa, yang mula menerajui kempen anti narkotik Presiden Rodrigo Duterte pada 2016, berkata demikian bagi menegaskan pendiriannya.

Kenyataan itu dibuat semasa pendengaran belanjawan Suruhanjaya Hak Asasi, sebuah badan bebas di Filipina, yang menyusul beberapa hari selepas ICC meluluskan siasatan penuh dijalankan terhadap dasar kontroversi itu.

Dela Rosa, yang kini menjadi Senator dan sekutu rapat Duterte, memberitahu satu sidang Senat Filipina bahawa beliau 'dituduh bersama' presiden itu dalam siasatan dilancarkan ICC.

"Saya lebih rela diadili, disabitkan dengan kesalahan, malah digantung di sebuah mahkamah Filipina daripada diadili, disabitkan dan digantung sebuah mahkamah asing," katanya.

Hukuman mati di Filipina dimansuhkan pada 1987 dan diperkenal semula enam tahun kemudian, sebelum ia dimansuhkan sekali lagi pada 2006.

Dela Rosa, yang bersara sebagai ketua polis pada 2018 dengan diiktiraf sebagai wira, dinamakan oleh hakim ICC selepas mereka meluluskan siasatan dijalankan.

ICC mendapati mendapati tindakan antidadah dilakukan Dela Rosa boleh ditakrifkan sebagai jenayah kemanusiaan.

Sebahagian besar penganiayaan yang disiasat semasa kempen antidadah itu berlaku di bawah kepimpinan Dela Rosa.

Ia termasuk pembunuhan seorang remaja pada 2017, Kian Delos Santos, yang membawa kepada sabitan pertama pegawai polis menjalankan perang dadah itu.

Dela Rosa mempertahankan sistem keadilan jenayah Filipina, sambil menyatakan tidak perlu membuktikan kepada dunia bahawa ia berkesan.

"Saya lebih suka sebuah sistem keadilan jenayah dijalankan macam neraka daripada sebuah (sistem) keadilan jenayah dijalankan macam syurga oleh hakim asing," katanya.

Sekurang-kurangnya 6,181 orang mati dalam lebih 200,000 operasi antidadah yang dijalankan sejak Julai 2016, menurut perangkaan rasmi terkini yang dikeluarkan oleh Filipina.

Pendakwa raya ICC, dalam kertas pertuduhan mahkamah, menganggarkan jumlah kematian antara 12,000 hingga 30,000.

Duterte belum memberi jawapan secara umum terhadap siasatan ICC itu tetapi minggu lalu peguamnya berkata beliau tidak akan bekerjasama. - AFP.

Berita Harian X