Rabu, 8 September 2021 | 9:48am
Orang ramai membeli stok makanan di Yangon selepas Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) mengisytiharkan perang terhadap junta tentera Myanmar. - Foto EPA
Orang ramai membeli stok makanan di Yangon selepas Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) mengisytiharkan perang terhadap junta tentera Myanmar. - Foto EPA

Krisis cetuskan pembelian panik di Yangon

BANGKOK: Orang ramai di Yangon, Myanmar semalam melakukan pembelian panik barangan keperluan di pasar raya dan stesen minyak kerana khuatir akan berlaku kekecohan.

Ini berikutan pengumuman kerajaan bayangan atau Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) mengisytiharkan 'perang pertahanan rakyat' bagi menentang junta tentera Myanmar.

Sebuah video dalam talian yang disiarkan pagi semalam oleh pemangku Presiden NUG, Duwa Lashi La, mengingatkan keadaan darurat hanya akan berakhir apabila kuasa pemerintah sivil dikembalikan.

Beliau mengingatkan penjawat awam supaya tidak pergi ke pejabat dan mendesak penduduk mengelakkan perjalanan tidak perlu selain menyimpan ubat-ubatan dan keperluan harian mereka.

Lashi La turut meminta kumpulan penentang pemberontak anti-junta untuk menentang pasukan tentera Myanmar di wilayah masing-masing selain menggesa pasukan bersenjata etnik Myanmar 'segera menentang' junta melalui pelbagai kaedah.

"Saya percaya bahawa negara jiran kita, negara ASEAN, PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan semua negara lain di seluruh dunia memahami keperluan untuk kita menentang," katanya.

Pengumuman itu mencetuskan pembelian panik di Yangon, dengan orang ramai memborong beras, minyak masak, makanan kering dan ubat-ubatan.

Sementara itu, barisan panjang kenderaan terbentuk di luar stesen minyak ketika pemandu kenderaan bergegas mendapatkan bahan bakar.

Pengisytiharan NUG itu dibuat hanya seminggu sebelum mesyuarat Majlis Umum PBB di New York, Amerika Syarikat (AS), selepas mereka bersaing dengan junta untuk diiktiraf sebagai wakil kerajaan Myanmar yang sah.

NUG merangkumi anggota Parlimen di ketua pemimpin Liga Nasional Demokrasi (NLD), Aung san Suu Kyi, yang digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 1 Februari lalu dan aktivis serta intelektual masyarakat awam.

Masing-masing mendakwa dan saling menuduh penentangnya sebagai pengganas.

ASEAN sedang mengatur bantuan kemanusiaan untuk Myanmar selepas blok berkenaan melantik Menteri Luar Brunei, Erywan Yusof, sebagai wakil khas untuk mengadakan rundingan damai di Myanmar.

Hujung minggu lalu, beliau mencadangkan gencatan senjata empat bulan di Myanmar untuk memastikan keselamatan pekerja kemanusiaan ketika menyampaikan bantuan.

Beliau berkata, cadangan itu tidak ditentang junta, sambil menambah mesej itu juga disampaikan secara tidak langsung kepada pihak yang menentang rampasan kuasa itu.

Tidak jelas sama ada pengisytiharan NUG semalam akan mencetuskan lonjakan pertempuran bersenjata di Myanmar.

Lebih dari 170 'pasukan pertahanan rakyat' (PDF) tempatan sudah melakukan serangan ala gerila terhadap pasukan dan pegawai polis sejak beberapa bulan terakhir.

Beberapa PDF juga didakwa membunuh individu dipercayai pemberi maklumat junta dan pentadbir awam yang bekerja di bawah junta.

Dalam pengumuman berasingan semalam, NUG mendesak penentang mematuhi kod etika yang meliputi bayaran ganti rugi kepada orang awam jika menggunakan harta benda mereka ketika keadaan darurat serta tidak membunuh atau menyeksa tahanan. - AGENSI

Berita Harian X