Rabu, 1 September 2021 | 7:16am
Penduduk di bandar Muse, berhampiran sempadan China-Myanmar turut mengadakan tunjuk perasaan menentang rampasan kuasa oleh tentera Februari lalu. - Foto AFP
Penduduk di bandar Muse, berhampiran sempadan China-Myanmar turut mengadakan tunjuk perasaan menentang rampasan kuasa oleh tentera Februari lalu. - Foto AFP

Utusan khas China lakukan lawatan ke Myanmar

YANGON: Utusan khas China untuk hal ehwal Asia telah melengkapkan lawatan selama seminggu yang tidak diumumkan ke Myanmar yang merangkumi perbincangan dengan pemimpin juntanya mengenai masa depan politik negara itu, kata Beijing semalam.

Myanmar berada dalam kekacauan politik sejak tentera menggulingkan pemerintah Aung San Suu Kyi pada Februari, melancarkan tindakan keras terhadap perbezaan pendapat.

Usaha antarabangsa untuk membendung keganasan gagal membuahkan hasil, dengan Kesatuan Eropah (EU) menuduh sekutu junta, Russia dan China menyekat usaha di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk mengenakan embargo senjata.

Utusan khas, Sun Guoxiang bertemu pemimpin junta, Min Aung Hlaing dan 'bertukar pandangan... mengenai landskap politik di Myanmar," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kedutaan Beijing di Myanmar.

China menyokong 'usaha Myanmar untuk mengembalikan kestabilan sosial dan meneruskan transformasi demokratik lebih awal," katanya.

Kenyataan mengenai lawatan Guoxiang pada 21-28 Ogos tidak menyebut adanya pertemuan dengan ahli parlimen kerajaan bayangan dari parti Suu Kyi yang digulingkan, yang menegaskan bahawa mereka adalah pihak berkuasa Myanmar yang sah.

Beijing menikmati pengaruh luar biasa terhadap Myanmar, dan setakat ini menolak untuk melabel tindakan ketenteraan sebagai kudeta.

Guoxiang berperanan dalam rundingan damai sebelumnya antara tentera Myanmar dan kumpulan etnik - yang mana sebahagiannya Beijing masih mengekalkan hubungan, kata penganalisis.

Myanmar juga adalah bahagian penting dalam inisiatif infrastruktur Belt and Road Beijing yang sangat besar.

Tahun lalu, Presiden China, Xi Jinping mengunjungi negara itu dan berjanji akan menyokong kerajaan Myanmar untuk pembangunan yang 'sesuai dengan keadaan nasionalnya sendiri'.

Media negara China semalam melaporkan kejayaan melengkapkan perjalanan ujian membawa kargo di sepanjang laluan jalan laut-baru yang menghubungkan barat daya China ke Lautan Hindi melalui Myanmar. - AFP

Berita Harian X