Selasa, 24 Ogos 2021 | 8:11pm
Presiden Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto AFP
Presiden Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto AFP

Presiden Filipina mahu bertanding Naib Presiden pula

MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte akan bertanding untuk jawatan Naib Presiden pada pilihan raya tahun depan, kata partinya, selepas berbulan-bulan spekulasi mengenai sama ada beliau mahu kekal 'berkuasa'.

Duterte, yang dipilih memegang jawatan tertinggi itu pada 2016 dan dilarang di bawah perlembagaan untuk mempertahankan jawatan untuk satu penggal lagi, sebelum ini membayangkan kemungkinan bertanding jawatan kedua tertinggi negara.

"Presiden Rodrigo Roa Duterte bersetuju berkorban dan akur desakan rakyat serta menerima sokongan Parti PDP Laban supaya beliau mencalonkan diri sebagai Naib Presiden pada pilihan raya nasional 2022," kata parti itu dalam satu kenyataan.

Parti itu juga dijangka mengetengahkan pembantu utama Duterte, Senator Christopher Lawrence 'Bong' Go sebagai calon Presiden.

Duterte bagaimanapun belum bercakap mengenai perkara itu kepada umum, tetapi Presiden PDP Laban, Alfonso Cusi memberitahu AFP: "Beliau sah akan bertanding untuk VP (Naib Presiden) pada 2022."

Di Filipina, jawatan Naib Presiden dan Presiden dipilih berasingan dengan Naib Presiden akan mengisi jawatan tertinggi itu jika berlaku kematian, tidak berkeupayaan atau meletak jawatan ketika sedang berkhidmat.

Sepanjang penggalnya, Duterte melancarkan perang yang kejam terhadap penagih dan pengedar dadah yang didakwa kumpulan asasi sudah membabitkan puluhan ribu nyawa.

Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa berusaha untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap tindakan keras dilakukan pasukan antinarkotik, sekali gus boleh menjejaskan peluang Duterte untuk pilihan raya tahun depan.

Anak perempuan Duterte, Sara antara paling disebut-sebut akan bertanding sebagai Presiden dan jika beliau menang dapat membantu ayahnya dari sabitan jenayah.

Duterte pernah memberitahu pegawai parti bulan lalu bahawa beliau 'serius akan bertanding jawatan Naib Presiden'.

Namun, beliau juga ada menyuarakan kebimbangan jika musuh politiknya menang jawatan Presiden, sekali gus akan menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak berguna dalam tempoh enam tahun akan datang.

"Presiden yang akan menang nanti mesti adalah kawan saya, yang saya boleh bekerja dengannya," kata Duterte.

Tarikh akhir pendaftaran calon untuk pilihan raya tahun depan adalah pada 8 Oktober ini.

Sebelum ini, tidak pernah Presiden menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan Naib Presiden Filipina. - AFP

Berita Harian X