Selasa, 17 Ogos 2021 | 11:47am
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Tentera Filipina tembak mati 16 anggota komunis

MANILA: Tentera Filipina menembak mati 16 anggota komunis dalam serbuan di sebuah lokasi disyaki tempat persembunyian gerila di sini, kata pihak tentera semalam.

Menurut jurucakap tentera di Manila, Mejar Reynaldo Aragones, maklumat mengenai lokasi persembunyian pengganas itu dimaklumkan penduduk setempat, di mana puluhan senjata api berkuasa tinggi turut ditemui.

"Tembak menembak yang sengit berlaku sehingga memaksa kami melancarkan serangan artileri dan sokongan aset udara," katanya.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, berkata kerajaan meningkatkan usaha bagi menghapuskan pemberontakan Maoist, kumpulan yang paling lama berperang di dunia dan bertanggungjawab membunuh lebih 40,000 orang.

Usaha perdamaian Duterte sebelum ini berkali-kali tergendala, mendorong beliau berikrar untuk menghapuskan sama sekali gerakan itu.

Pada Mac lalu, Duterte mengarahkan polis dan tentera 'membunuh' pemberontak komunis, sekali gus mengenepikan hak kemanusiaan sehingga tindakan itu ditempelak aktivis.

Kumpulan hak asasi manusia dan penentang Duterte berkata pentadbirannya dan pasukan tentera sering menuduh musuh atau pengkritiknya menyokong atau menyertai pemberontak taktik menutup mulut, menahan atau membunuh mereka.

Menurut tentera Filipina, Tentera Rakyat Baru (NPA) iaitu sayap bersenjata Parti Komunis Filipina, mempunyai 25,000 pejuang bersenjata pada saat kemuncaknya tetapi kini angka itu berkurangan kepada 3,000 orang.

Ketua tentera yang baru dilantik, Leftenan Jeneral Jose Faustino, mengarahkan unit tentera membanteras anasir komunis sebelum akhir tahun ini. - AFP

Berita Harian X