Rabu, 4 Ogos 2021 | 6:52pm
Gambar fail diambil pada 14 Jun lalu menunjukkan penunjuk perasaan di Myanmar membakar bendera ASEAN kerana tidak puas hati dengan kelewatan melantik wakil khas bagi rundingan damai dengan junta tentera. - Foto AFP
Gambar fail diambil pada 14 Jun lalu menunjukkan penunjuk perasaan di Myanmar membakar bendera ASEAN kerana tidak puas hati dengan kelewatan melantik wakil khas bagi rundingan damai dengan junta tentera. - Foto AFP

ASEAN pilih wakil khas ke Myanmar

SINGAPURA: Selepas berbulan menangguhkan usaha diplomatik, ASEAN hari ini melantik wakil khas ke Myanmar bagi menyelesaikan krisis di negara itu.

Myanmar yang juga anggota ASEAN, terjerumus dalam kancah kemelut politik sejak junta tentera menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi pada 1 Februari lalu, dengan tunjuk perasaan diadakan hampir setiap hari.

Ekoran itu, kumpulan pemerhati tempatan mendakwa lebih 900 orang maut dalam operasi yang dilakukan junta.

Dalam satu kenyataan bersama oleh menteri luar ASEAN, mereka menyambut baik pelantikan Menteri Luar Kedua Brunei, Erywan Yusof, sebagai utusan khas blok berkenaan.

ASEAN yang beroperasi secara konsensus dan tanpa campur tangan sejak krisis itu berada di bawah tekanan global bagi membantu menyelesaikan kemelut berkenaan.

ASEAN, dalam satu kenyatan, menggariskan bahawa tugas wakil berkenaan adalah bagi 'membina kepercayaan dan keyakinan', malah beliau akan memperoleh 'akses penuh kepada semua pihak berkenaan'.

Yusof sebelum ini sudah beberapa kali mengunjungi Myanmar bagi pihak ASEAN sejak rampasan kuasa pada 4 Jun lalu dan sudah bertemu dengan Min Aung Hlaing, ketua junta tentera.

Pelantikan wakil itu dijangka membuka jalan untuk ASEAN bagi menghantar bantuan kecemasan untuk membantu pihak berkuasa melawan jangkitan COVID-19 di Myanmar.

Britain minggu lalu memberi amaran bahawa separuh dari 54 juta penduduk negara itu mungkin dijangkiti COVID-19 dalam tempoh dua minggu.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pula menjangkakan hanya 40 peratus fasiliti kesihatan di negara itu berfungsi.

Aung Hlaing sebelum ini berjanji akan mengadakan pilihan raya dan membebaskan negara itu daripada darurat menjelang Ogos 2023, sekali gus memanjangkan tempoh masa setahun yang diberikan sejurus rampasan kuasa berlaku. - AFP

Berita Harian X