Selasa, 29 Jun 2021 | 10:01pm
Gambaf fail menunjukkan pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung san Suu Kyi. - Foto AGENSI
Gambaf fail menunjukkan pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung san Suu Kyi. - Foto AGENSI

Suu Kyi gesa rakyat Myanmar tetap 'bersatu'

YANGON: Pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, meminta rakyat Myanmar untuk terus 'bersatu' menentang junta tentera yang merampas kuasa 1 Februari lalu.

Gesaan itu dinyatakan melalui peguamnya, ketika hadir bagi perbicaraannya di mahkamah.

Pemenang Anugerah Nobel yang juga anak pejuang kemerdekaan Myanmar, Jeneral Aung San, ditahan di rumah sejak rampasan kuasa pada Februari lalu, mencetuskan protes prodemokrasi hampir setiap hari hingga kini.

Suu Kyi, 76, kini menghadapi tuduhan jenayah kerana memiliki walkie-talkie tanpa permit dan melanggar sekatan COVID-19 dengan mengadakan kempen sepanjang pilihan raya tahun lalu.

Jika didapati bersalah, pemimpin Parti Liga Demokrasi Kebangsaan ( NLD) itu boleh dipenjara lebih 10 tahun atas semua tuduhan.

Pada perbicaraan hari ini, peguam Su Kyi, Min Min Soe, memberitahu pemimpin prodemokrasi itu dibicarakan atas kes pelanggaran sekatan COVID-19 ketika kempen pilihan raya yang menyaksikan kemenangan besar NLD.

"Beliau meminta semua orang kekal bersatu secara konsisten untuk menentang junta tentera," katanya.

Dalam satu perbicaraan khas di mahkamah di ibu kota Naypyidaw itu, Su Kyi turut dibicarakan atas tuduhan hasutan, meskipun pasukan peguam belanya membantah dua dokumen yang dikemukakan pihak pendakwaan tidak dapat diterima kerana tidak ditandatangani.

Bekas Presiden Myanmar, Win Myint dan pemimpin kanan NLD, Myo Aung, juga dibicarakan kerana menghasut serta hadir bersama di Suu Kyi.

Pada masa sama, berlaku pertempuran antara tentera dan pemberontak etnik di wilayah sempadan negara yang turut berdepan krisis ekonomi kesan COVID-19.

Pemimpin Junta, Min Aung Hlaing, mendakwa tindakannya adalah berasaskan dakwaan berlaku penipuan ketika pilihan raya umum November lalu, yang menyaksikan Suu Kyi dari NLD menang besar.

Junta tentera bertindak kejam terhadap penunjuk perasaan dengan menembak menggunakan peluru hidup, menangkap suspek dalam serang hendap dan menutup premis media serta menahan wartawan.

Menurut kumpulan pemantau antarabangsa, lebih 880 orang awam terbunuh dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dengan pihak berkuasa. - AFP

Berita Harian X