Rabu, 16 Jun 2021 | 9:47pm
Gambar menunjukkan penyelam memegang serpihan tembikar China jenis longquan yang ditemui dalam kapal karam berhampiran perairan Pedra Branca, Singapura. - Foto AFP
Gambar menunjukkan penyelam memegang serpihan tembikar China jenis longquan yang ditemui dalam kapal karam berhampiran perairan Pedra Branca, Singapura. - Foto AFP

Bangkai kapal karam berusia 2 abad ditemui di Singapura

SINGAPURA: Bangkai kapal karam berusia sekitar dua abad yang di dalamnya dipenuhi seramik dan artifak lain ditemui di perairan sini.

Ahli arkeologi berpandangan penemuan yang jarang berlaku itu dapat membantu memberi gambaran sebenar mengenai warisan maritim republik itu.

Negara pulau yang penuh kemakmuran suatu ketika dulu itu sudah lama menjadi hab perdagangan utama dalam laluan pelayaran global, menghubungkan Lautan Hindi dan Laut China Selatan.

Menurut Lembaga Warisan Nasional dan badan pemikir ISEAS-Institut Yusof Ishak yang bekerjasama dalam projek itu, bangkai kapal berkenaan ditemui di Pedra Branca, sebuah kawasan berbatu di sebelah timur Singapura.

Ia adalah bangkai kapal pertama yang ditemui penyelam secara tidak sengaja apabila terlebih dulu menemui piring seramik pada 2015, berkemungkinan seramik Cina pada abad ke-14, ketika Singapura masih dikenali sebagai Temasek.

Sesetengah barang yang dijumpai adalah sama dengan artifak ditemui di tapak penggalian arkeologi, sekali gus menunjukkan Singapura pernah menjadi hab perdagangan sebelum kedatangan penjajah British pada 1819.

Penerokaan dasar laut dekat bangkai kapal pertama mendorong kepada penemuan kedua, berkemungkinan Shah Munchah iaitu kapal perdagangan yang dibina di India, yang karam pada 1796 ketika berlayar dari China ke India.

Barang yang ditemui dari bangkai kapal kedua merangkumi seramik Cina sehinggalah objek kaca atau batu akek selain sauh serta meriam.

Meriam terbabit biasanya boleh didapati di kapal dagang digunakan Syarikat Hindia Timur, yang suatu ketika dulu gergasi perdagangan di mana empayar Inggeris berkembang di Asia pada abad ke-18 dan ke-19.

Penemuan kapal pada 2015 itu adalah kapal karam kuno pertama yang dijumpai di perairan Singapura.

Ia membawa banyak tembikar berwarna biru dan putih dari Dinasti Yuan berbanding kapal karam lain yang pernah direkodkan di dunia, kata Felo Pelawat Unit Arkeologi ISEAS-Institut Yusof Ishak, Michael Flecker.

"Banyak kepingan yang jarang dan dipercayai unik ditemui," katanya.

Flecker berkata, sebilangan besar kargo China yang dibawa bangkai kapal kedua, berdasarkan data sedia ada, untuk dihantar ke Britain.

Dinasti Yuan, seperti yang boleh dilihat di China sekarang, wujud pada abad ke-13 dan ke-14. - AFP

Berita Harian X