Isnin, 7 Jun 2021 | 3:29pm
Ketua junta tentera Myanmar, Min Aung Hlaing (kanan) menemui Menteri Luar Brunei, Erywan Yusof (kiri) selaku waki ASEAN, di rumah presiden di Naypyitaw, Myanmar. - Foto EPA
Ketua junta tentera Myanmar, Min Aung Hlaing (kanan) menemui Menteri Luar Brunei, Erywan Yusof (kiri) selaku waki ASEAN, di rumah presiden di Naypyitaw, Myanmar. - Foto EPA

Junta Myanmar digesa bebas tahanan, akur perjanjian - ASEAN

YANGON: Wakil ASEAN menggesa junta tentera Myanmar membebaskan semua tahanan politik sebelum memulakan rundingan bagi menamatkan krisis menyusuli rampasan 1 Februari lalu.

Perwakilan ASEAN itu berpegang kepada lima teras perjanjian yang dimuktamadkan 10 negara anggota termasuk Myanmar, pada April lalu berhubung kesepakatan serantau bagi menamatkan kemelut di negara itu.

Junta Myanmar setakat ini menzahirkan komitmen terhadap perjanjian itu, antara lain kesediaan menamatkan keganasan yang terus memuncak di Myanmar selain mewujudkan dialog politik dan melantik duta khas serantau.

Duta ASEAN mengadakan pertemuan dengan ketua junta, Min Aung Hlaing, di ibu kota Myanmar, Naypyidaw, pada Jumaat lalu.

ASEAN dalam satu kenyataan, berkata pertemuan itu bertujuan membincangkan pendekatan terbaik untuk Myanmar mencapai penyelesaian secara aman demi kepentingan rakyatnya, berpandukan lima teras perjanjian yang dikemukakan.

Katanya, gesaan turut dibuat supaya semua tahanan politik termasuk wanita, kanak-kanak dan warga asing, segera dibebaskan.

Meskipun gesaan sedemikian tidak menjadi sebahagian daripada kesepakatan yang dipersetujui ASEAN, kebanyakan negara anggota menyatakan persetujuan terhadap perkara terbabit.

Akhbar rasmi, Global New Light of Myanmar berkata mesyuarat meliputi pelaksanaan syor hasil penelitian asas dilakukan ASEAN dan tindakan keganasan didalangi seteru junta, selain rancangan tentera Myanmar untuk mengadakan pemilihan baharu.

Junta tentera Myanmar sehingga kini gagal mengawal pergolakan di negara itu sejak rampasan kuasa tercetus 1 Februari lalu, menyaksikan penahanan beberapa pemimpin utama, termasuk Aung San Suu Kyi dan lebih 4,500 individu lain.

Berdasarkan maklumat semasa oleh kumpulan hak asasi, sekurang-kurangnya 849 terbunuh, namun perangkaan itu dinafikan pihak tentera Myanmar.

Seteru junta tentera Myanmar turut menyuarakan kekesalan terhadap kegagalan ASEAN merintis tindakan keras bagi mengakhiri polemik di negara terbabit.

Krisis di Myanmar juga dijangka menjadi antara topik utama dibicarakan dalam mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-China di Chongqing, minggu ini.

Menteri Luar junta, Wunna Maung Lwin, dijangka turut hadir pada mesyuarat berkenaan manakala Duta China pula mengadakan pertemuan dengan ketua junta tentera, Min Aung Hlaing, kelmarin.

Akhbar Global Times di China memetik Aung Hlaing sebagai berkata Myanmar bersedia untuk menyelaras pelaksanaan kesepakatan yang dicapai pada peringkat ASEAN.

Duta China turut menyatakan persetujuan dan kesediaan untuk menyokong pelaksanaan kesepakatan itu.

Seteru junta pula menyuarakan kebimbangan terhadap peranan China, yang disifatkan berbeza dengan negara Barat kerana mereka tidak menzahirkan sebarang penegasan bagi mengkritik tindakan rampasan kuasa pada 1 Februari lalu. - AGENSI

Berita Harian X