Sabtu, 5 Jun 2021 | 4:16pm
Pemimpin junta Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing (kanan) bermesyuarat dengan Menteri kedua Hal Ehwal Luar Brunei, Erywan Pehin Yusof (tiga dari kiri) dan Setiausaha Agung ASEAN, Jeneral Lim Jock Hoi, di Naypyidaw. - Foto AFP
Pemimpin junta Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing (kanan) bermesyuarat dengan Menteri kedua Hal Ehwal Luar Brunei, Erywan Pehin Yusof (tiga dari kiri) dan Setiausaha Agung ASEAN, Jeneral Lim Jock Hoi, di Naypyidaw. - Foto AFP

Wakil ASEAN adakan pertemuan dengan pemimpin junta

YANGON: Pemimpin junta Myanmar mengulangi pendirian untuk akan hanya membenarkan pilihan raya baharu selepas negara yang kini diambil alih kudeta itu kembali kepada normal.

Hasrat itu disuarakan ketika wakil Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) mengadakan rundingan dengan pemimpin junta Myanmar, Min Aun Hlaing, semalam.

Menurut pasukan informasi junta, pertemuan itu diwakili Menteri kedua Hal Ehwal Luar Brunei, Erywan Pehin Yusof dan Setiausaha Agung ASEAN, Jeneral Lim Jock Hoi bersama Aun Hlaing.

"Pemimpin atasan berkata junta akan hanya mengadakan pilihan raya baharu apabila situasi kembali kepada normal," kata kenyataan itu tanpa memberikan butiran lanjut.

Sebelum ini, junta mengesahkan untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh dua tahun.

Myanmar berada dalam keadaan huru-hara termasuk mengalami kelumpuhan ekonomi susulan rampasan kuasa tentera yang menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi pada Februari lalu, dengan tuduhan berlakunya penipuan pilihan raya pada tahun 2020.

Menurut kumpulan pemantau tempatan, rentetan itu, lebih 800 orang awam terbunuh dalam tindakan kekerasan tentera terhadap pihak yang menentang termasuk terhadap beberapa kumpulan etnik pemberontak.

ASEAN mengetuai usaha diplomatik untuk menyelesaikan krisis di Myanmar namun blok rantau itu yang tidak dikenali dengan pengaruh diplomatik menyebabkan pihak pemantau mempersoalkan sejauh mana keberkesanan inisiatif itu boleh mempengaruhi keadaan di negara terbabit.

Aung Hlaing menghadiri rundingan krisis itu dengan pemimpin dari 10 negara ASEAN pada April, iaitu lawatan luar negara pertamanya sejak rampasan kuasa.

Hasil daripada mesyuarat tertutup itu, barisan pemimpin tampil dengan kenyataan 'lima langkah secara konsesus' yang menuntut 'keganasan segera dihentikan' dan kebenaran lawatan ke Myanmar oleh utusan khas di rantau itu.

Pemimpin junta itu kemudiannya menjelaskan dalam sesi temubual di televisyen bahawa Myanmar belum bersedia untuk menggunapakai pelan itu.

Sehingga kini, wakil khas belum lagi dilantik, malah keganasan masih berterusan di seluruh pelusuk Myanmar.

Kerajaan bayangan yang dibentuk oleh bekas pemimpin kebanyakan dari Parti Liga Nasional untuk Demokrasi pada Khamis meminta wakil pemimpin ASEAN itu untuk membuat pertemuan dengan wakil parti Suu Kyi juga.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada wakil ASEAN itu merancang untuk bertemu dengan barisan pemimpin kerajaan bayangan yang digelar junta sebagai 'pengganas'. - AFP

Berita Harian X