Jumaat, 4 Jun 2021 | 7:24am
Penunjuk perasaan menunjukkan tabik tiga jari dalam demonstrasi terhadap rampasan tentera Myanmar di Yangon, semalam. - Foto AFP
Penunjuk perasaan menunjukkan tabik tiga jari dalam demonstrasi terhadap rampasan tentera Myanmar di Yangon, semalam. - Foto AFP

Perwakilan ASEAN tiba di Myanmar

YANGON: Perwakilan dari ASEAN tiba ke Myanmar malam tadi untuk berunding dengan ketua junta, Min Aung Hlaing, lima bulan selepas rampasan kuasa di negara itu.

Myanmar berada dalam keadaan kucar-kacir dan ekonomi lumpuh sejak rampasan kuasa pada Februari lalu, manakala kumpulan pemerhati tempatan mendakwa lebih 800 individu maut, susulan tindakan ganas tentera terhadap pemberontak.

Menteri Hal Ehwal Antarabangsa Kedua Brunei, Erywan Pehin Yusof, dan Setiausaha Agung ASEAN, Lim Jock Hoi, tiba di Naypidaw lewat Khamis, kata seorang pegawai Myanmar yang enggan dikenali.

Pegawai itu berkata, mereka akan bertemu Aung Hlaing pagi ini, namun tidak memberikan perincian lanjut.

ASEAN mengetuai usaha diplomatik bagi menyelesaikan krisis di Myanmar, namun pengaruh diplomatik bukan kekuatan blok itu, dan pemerhati mempersoal keberkesanan ASEAN untuk mempengaruhi perubahan di Myanmar.

Blok itu juga dilihat bergelut untuk bersatu, ketika Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) meningkatkan sekatan terhadap jeneral Myanmar.

Penunjuk perasaan lari dari pasukan keselamatan dalam bantahan terhadap rampasan kuasa oleh tentera di Yangon, semalam. - Foto AFP
Penunjuk perasaan lari dari pasukan keselamatan dalam bantahan terhadap rampasan kuasa oleh tentera di Yangon, semalam. - Foto AFP

Setakat ini tidak jelas sama ada perwakilan ASEAN itu akan bertemu dengan anggota kerajaan bayangan yang disingkirkan, kebanyakannya anggota parti NLD, yang berusaha menyatukan pemberontak.

Junta melabel anggota kerajaan bayangan itu sebagai 'pengganas', bererti mana-mana pihak yang berkomunikasi dengan mereka, termasuk wartawan, boleh diambil tindakan mengikut undang-undang mencegah keganasan.

Aung Hlaing turut mengulangi tuduhannya bahawa kumpulan itu sebagai pengganas, dalam ucapannya yang disiarkan saluran televisyen kerajaan pada Khamis. - AFP

Berita Harian X