Selasa, 4 Mei 2021 | 4:53pm
Penunjuk perasaan prodemokrasi memegang sepanduk memaparkan gambar aktivis yang ditahan setakat ini, menuntut mereka dibebaskan segera di Bangkok, Thailand. - Foto EPA
Penunjuk perasaan prodemokrasi memegang sepanduk memaparkan gambar aktivis yang ditahan setakat ini, menuntut mereka dibebaskan segera di Bangkok, Thailand. - Foto EPA

Penunjuk perasaan Thailand tuntut pembebasan aktivis

BANGKOK: Ratusan penunjuk perasaan Thailand membaling tomato dan telur selain menyimbah cat merah di tembok Mahkamah Jenayah Bangkok semalam, menuntut semua tahanan politik dibebaskan.

Antaranya termasuk aktivis utama, Parit Chiwarak atau 'Penguin', yang kini dimasukkan ke hospital berikutan kesihatannya bertambah buruk selepas melancarkan mogok lapar.

Dia ditahan sejak Februari lalu selepas didakwa di bawah undang-undang 'lese majeste' atau menghina institusi dan kerabat diraja Thailand selain tidak dibenarkan diikat jamin berulang kali.

Dia berdepan puluhan dakwaan susulan peranannya dalam gerakan prodemokrasi menentang kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha, selain menggesa pindaan Perlembagaan dan reformasi sistem monarki.

Penunjuk perasaan melaungkan slogan 'bebaskan tahanan politik' dan memberi tabik hormat tiga jari yang menjadi simbol bantahan gerakan prodemokrasi.

Mereka menyimbah cat merah di seluruh pintu masuk mahkamah, di mana mereka turut menampal poster gambar hakim yang menolak permohonan ikat jamin Parit

Penunjuk perasaan juga melemparkan telur dan tomato ke pekarangan mahkamah yang dikawal polis menggunakan perisai anti rusuhan tetapi mula beredar sekitar jam 6 petang semalam.

Berat Parit turun lebih 12 kilogram sejak memulakan mogok lapar pada 16 Mac lalu dan pegawai memindahkannya ke hospital Jumaat lalu, susulan kebimbangan terhadap tahap kesihatannya yang semakin merosot.

Sekurang-kurangnya 70 aktivis gerakan prodemokrasi kini berdepan pelbagai tuduhan dikaitkan dengan demonstrasi besar-besaran sejak hampir setahun lalu. - AFP

Berita Harian X