Rabu, 28 April 2021 | 3:48pm
Penunjuk perasaan menunjukkan salam tiga jari ketika tunjuk perasaan antirampasan kuasa di Mandalay. - EPA
Penunjuk perasaan menunjukkan salam tiga jari ketika tunjuk perasaan antirampasan kuasa di Mandalay. - EPA

Tiada perbincangan selagi junta tidak bebaskan tahanan politik

YANGON: Kerajaan Perpaduan Kebangsaan Myanmar yang dianggotai Ahli Parlimen yang digulingkan, memberitahu ASEAN bahawa pihaknya enggan mengadakan perbincangan sehingga tentera junta membebaskan tahanan politik.

Sepuluh anggota negara ASEAN cuba mencari jalan penyelesaian krisis berdarah di Myanmar, yang tercetus sejak 1 Februari lalu dan menggesa keganasan dihentikan serta rundingan diadakan antara semua pihak.

Bagaimanapun, junta menolak rancangan penyelesaian krisis yang dibangkitkan ketika Sidang Kemuncak ASEAN minggu lalu, yang dihadiri sendiri oleh Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, tetapi tiada wakil dari pihak awam.

Kerajaan Perpaduan Kebangsaan (NUG) yang prodemokrasi dan dibentuk bulan ini oleh penentang tentera, menurut ASEAN seharusnya membabitkan sama wakil sah dipilih rakyat negara itu.

"Sebelum sebarang dialog konstruktif boleh berlangsung, bagaimanapun mesti dibebaskan tahanan politik tanpa syarat termasuk Presiden U Win Myint dan Canselor Negara, Daw Aung San Suu Kyi," tegas Perdana Menteri NUG, Mahn Winn Khaing Thann dalam satu kenyataan.

Win Myint dan Suu Kyi ditahan sejak rampasan kuasa yang dilancarkan oleh tentera ketika kerajaan Suu Kyi bersiap siaga untuk pemerintahan penggal kedua selepas memenangi pilihan raya pada November.

Pihak tentera berkata, terpaksa merampas kuasa kerajaan ketika itu berikutan menerima aduan berlaku penipuan dalam pilihan raya yang tidak ditangani oleh Suruhanjaya Pilihan Raya yang dianggap tidak adil.

Sejak insiden rampasan kuasa berlaku, tunjuk perasaan di bandar-bandar seluruh negara meletus dan tentera menangani situasi dengan kekerasan yang boleh menyebabkan maut terhadap penunjuk perasaan.

Menurut kumpulan aktivis, lebih 750 orang terbunuh sejak rampasan kuasa.

Bimbang dengan situasi di Myanmar, ASEAN bertindak mengadakan pertemuan Sabtu lalu di Jakarta, Indonesia sebagai usaha mendesak pemimpin junta menamatkan krisis di negara itu.

ASEAN tidak mengundang wakil kerajaan Suu Kyi yang digulingkan, namun pemimpin blok negara Asia Tenggara itu menyatakan mereka sudah mencapai 'lima saranan konsensus' berhubung langkah-langkah untuk mengakhiri keganasan dan mempromosikan dialog antara beberapa puak di Myanmar yang saling memusuhi.

Junta kemudiannya menyatakan bahawa beliau akan membuat 'pertimbangan yang teliti' terhadap saranan ASEAN, termasuk melantik seorang utusan untuk mengadakan lawatan ke Myanmar apabila keadaan kembali stabil dan dengan syarat bahawa cadangan ASEAN akan memudah cara pelan tindakan junta serta menuruti kepentingan negara.

Pelan tindakan itu sebelum ini pernah dikritik kumpulan aktivis apabila mendakwa ia cuma membantu 'menghalalkan' junta selain tidak memenuhi tuntutan mereka. - AGENSI

Berita Harian X