Rabu, 28 April 2021 | 7:29am
Penunjuk perasaan menunjukkan tabik tiga jari sebagai tanda protes terhadap junta tentera di pekan Sanchaung di Yangon, Myanmar. - Foto AFP
Penunjuk perasaan menunjukkan tabik tiga jari sebagai tanda protes terhadap junta tentera di pekan Sanchaung di Yangon, Myanmar. - Foto AFP

Pakar PBB Myanmar gesa junta tentera hentikan keganasan

GENEVA: Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Myanmar mencabar ketua junta tentera, Min Aung Hlaing, memberi komitmen secara terbuka untuk menghentikan keganasan di negara itu.

Pelapor khas PBB bagi hak asasi manusia, Thomas Andrews, mengutus surat terbuka menggesa jeneral kanan itu memaklumkan rakyat bebas membantah pemerintahannya tanpa takut dicederakan atau ditahan.

Sejak tentera menggulingkan pemimpin awam, Aung San Suu Kyi, dalam rampasan kuasa pada 1 Februari lalu, Myanmar bergolak dengan tunjuk perasaan hampir setiap hari dan gerakan ketidakpatuhan awam (CDM) di seluruh negara.

Aun Hlaing minggu lalu menghadiri mesyuarat bersama 10 negara anggota ASEAN, yang juga perjalanan antarabangsa pertamanya sejak rampasan kuasa, dengan beliau dipanggil untuk membincangkan penyelesaian krisis di Myanmar.

Pemimpin ASEAN di Jakarta mengeluarkan kenyataan 'konsensus lima perkara', antaranya meminta menghentikan segera keganasan dan membenarkan kunjungan kunjungan utusan khas ke Myanmar.

Andrews, dalam suratnya, berkata berdasarkan dokumen konsensus itu, Aung Hlaing memberi komitmen untuk segera menghentikan keganasan di Myanmar.

"Ini adalah langkah pertama lagi penting untuk mengakhiri krisis yang mengorbankan lebih 750 mangsa, termasuk kanak-kanak, di tangan pasukan keselamatan Myanmar," katanya.

Andrews turut mendesak Aung Hlaing bertindak atas rayuan Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Perdana Menteri Malaysia, Muhyiddin Yassin, untuk segera membebaskan semua tahanan politik yang ditahan sejak 1 Februari lalu, tanpa syarat.

Semalam, junta Myanmar berkata, ia akan mempertimbang rayuan untuk menghentikan kekerasan jika negara itu 'kembali stabil', ketika pertempuran baharu meletus dengan kumpulan pemberontak etnik dekat sempadan di timur negara itu. - AFP

Berita Harian X