Ahad, 18 April 2021 | 6:14pm
Ketua Tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing dijangka menghadiri sidang kemuncak ASEAN di Indonesia pada 24 April 2021. - Foto EPA
Ketua Tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing dijangka menghadiri sidang kemuncak ASEAN di Indonesia pada 24 April 2021. - Foto EPA

Kerajaan perpaduan mahu wakili Myanmar akhiri krisis

YANGON: Jiran Myanmar harus berunding dengan kerajaan perpaduan nasional (NUG) yang baharu dibentuk jika ingin membantu menyelesaikan pergolakan yang dicetuskan oleh rampasan kuasa tentera 1 Februari dan tidak mengiktiraf junta, tegas pegawainya.

Timbalan Menteri Luar dalam NUG yang ditubuhkan minggu lalu, Moe Zaw Oo, berkata ASEAN seharusnya tidak mengiktiraf junta Myanmar.

Sebanyak 10 negara ASEAN berusaha mencari jalan menyelesaikan krisis berdarah yang menggegarkan sesama anggota sejak tentera menggulingkan kerajaan dipilih rakyat diketuai Aung San Suu Kyi.

"Sekiranya ASEAN menimbangkan tindakan yang berkaitan dengan urusan Myanmar, saya ingin menyatakan bahawa ia tidak akan berjaya kecuali jika berunding dengan NUG, yang disokong oleh rakyat dan memiliki kesahihan sepenuhnya," katanya dalam temu bual dengan Voice of America (VOA) versi bahasa Burma yang diterbitkan hari ini.

Ahli politik prodemokrasi termasuk anggota parlimen yang digulingkan dari parti Suu Kyi mengumumkan penubuhan NUG pada Jumaat lalu.

Ia termasuk Suu Kyi, yang berada dalam tahanan sejak rampasan kuasa, pemimpin protes prodemokrasi dan etnik minoriti.

NUG telah meminta pengiktirafan antarabangsa sebagai pihak berkuasa yang sah dan meminta diundang ke pertemuan ASEAN.

Orang ramai turun ke jalan di beberapa bandar di Myanmar hujung minggu ini untuk menunjukkan sokongan kepada NUG.

"Sangat penting majlis junta tidak diakui," kata Moe Zaw Oo kepada VOA, dengan menyatakan kerajaan perpaduan belum diundang ke pertemuan di ibu negara Indonesia, Jakarta.

Tentera menunjukkan kurang kesediaan untuk berhubung dengan jirannya dan tidak ada tanda-tanda mahu berbincang dengan kerajaan yang digulingkan.

Bagaimanapun dalam petunjuk awal, ketua junta, Jeneral Min Aung Hlaing akan menghadiri sidang kemuncak ASEAN di Indonesia pada 24 April, seperti yang dinyatakan oleh pegawai kerajaan Thailand semalam.

Ini akan menjadi lawatan dan perjumpaan ketua tentera yang pertama dengan pemimpin asing sejak rampasan kuasa.

Junta belum mengulas mengenai sidang kemuncak itu. - AGENSI

Berita Harian X