Ahad, 4 April 2021 | 1:19pm
Gambar hiasan. Filipina bantah kehadiran kapal China di perairannya. - Foto Google
Gambar hiasan. Filipina bantah kehadiran kapal China di perairannya. - Foto Google

Filipina bantah kehadiran kapal China di perairannya

MANILA: Filipina semalam menuduh China cuba 'memperbodohkan' Manila dengan memberi alasan kapal nelayan yang berada dalam perairan zon ekonomi eksklusif Filipina berlindung daripada cuaca buruk.

Kira-kira 220 kapal China kali pertama dilihat di sekitar Terumbu Whitsun di bahagian timur laut Kepulauan Spratly pada awal Mac lalu, yang menyebabkan protes diplomatik oleh kerajaan Filipina.

Kedutaan China di Manila mendakwa kapal itu adalah bot menangkap ikan yang berlindung daripada cuaca buruk.

Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana semalam menuduh China cuba 'memperbodohkan' Manila, mengenai kehadiran kapal nelayan di perairan yang menjadi pertikaian dan dituntut oleh kedua-dua negara di Laut China Selatan, lapor agensi berita Arab News.

"Daripada pengawasan maritim dan udara terbaharu kami, masih ada 44 kapal China yang berada di Terumbu Whitsun," kata Lorenzana dalam satu kenyataan.

"Saya tidak bodoh. Cuaca setakat ini baik, jadi mereka tidak mempunyai alasan lain untuk tinggal di sana.

"Kami sudah membuat protes diplomatik dengan menyatakan pendirian kami mengenai isu ini. Kami sekali lagi mengulangi tuntutan supaya China meninggalkan wilayah berdaulat kami dan mematuhi undang-undang antarabangsa," katanya.

Terumbu Whitsun yang terletak di hujung timur laut kawasan Pagkakaisa Banks, berada dalam zon ekonomi eksklusif Filipina.

Pulau dan terumbu di Laut China Selatan adalah antara wilayah yang paling menjadi rebutan di dunia.

Pihak dalam perselisihan Laut China Selatan iaitu Vietnam, China, Taiwan, Filipina dan Malaysia membangunkan struktur dan pulau buatan di jalan air yang strategik dan kaya dengan sumber marin bagi memperkukuh tuntutan wilayah.

"Kapal ini harus keluar," kata Lorenzana.

Susulan kenyataan itu, tentera Filipina memaklumkan, pasukan itu sedang meningkatkan rondaan di kawasan Terumbu Whitsun.

"Kami bersama dengan Setiausaha Pertahanan (Lorenzana) bagi menentang pencerobohan ini.

"Kami komited untuk terus memantau Laut Filipina Barat melalui rondaan kedaulatan udara dan maritim biasa, selain dari stesen pemantauan darat 24 jam kami," kata Angkatan Tentera Filipina dalam satu kenyataan.

Filipina berulang kali membantah 'kehadiran tidak sah dan berlarutan' kapal China di perairannya. - AGENSI

Berita Harian X