Khamis, 1 April 2021 | 12:05pm
(Gambar fail) Ketua Polis Indonesia, Listyo Sigit Prabowo. - FOTO AFP
(Gambar fail) Ketua Polis Indonesia, Listyo Sigit Prabowo. - FOTO AFP

Polis Indonesia tembak mati wanita bersenjata disyaki pengganas

JAKARTA: Seorang wanita bersenjata disyaki pengganas, ditembak mati selepas melepaskan enam das tembakan di kawasan Mabes Polri (ibu pejabat polis Indonesia) di Jakarta, semalam.

Ketua Polis Indonesia, Listyo Sigit Prabowo, berkata suspek berusia 25 tahun itu memasuki kawasan Mabes Polri kira-kira jam 4.30 petang.

"Suspek masuk melalui pintu belakang sebelum melepaskan empat tembakan di satu pos kawalan di Mabes Polri dan dua das tembakan terhadap anggota polis di kawasan berkenaan.

"Anggota polis kemudian bertindak menembak suspek," katanya pada sidang media, malam tadi, namun tidak memaklumkan jenis senjata api digunakan wanita itu.

Tiada anggota polis dilaporkan cedera atau terkorban dalam kejadian berkenaan.

Hasil siasatan awal mendapati suspek dikenali dengan singkatan 'ZA', mempunyai ideologi fahaman pertubuhan pengganas Daesh dan merupakan bekas mahasiswa di sebuah institusi pengajian tinggi.

"(Hasil siasatan awal mendapati suspek) juga melakukan hantaran dalam akaun Instagramnya dalam tempoh 21 jam lalu, yang memuat turun bendera Daesh.

"Selain itu dalam aplikasi 'WhatsApp Group' keluarganya, suspek juga mengucapkan pamit (selamat tinggal)," katanya.

Sejak beberapa hari selepas kejadian bom bunuh diri di luar sebuah gereja di Makassar, Sulawesi Selatan, Isnin lalu, polis Indonesia mengadakan operasi besar-besaran untuk memburu jaringan pengganas di seluruh Indonesia.

Setakat ini, Listyo berkata, 23 suspek pengganas telah ditahan di beberapa kota di Indonesia, termasuk lima di Jakarta. – BERNAMA

Berita Harian X