Ahad, 28 March 2021 | 8:08pm
Gambar fail menunjukkan protes di hadapan Kedutaan Besar China di Filipina membantah pencerobohan kapal China di kawasan maritim Filipina. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan protes di hadapan Kedutaan Besar China di Filipina membantah pencerobohan kapal China di kawasan maritim Filipina. - Foto AFP

Filipina hantar pesawat tempur ke Laut China Selatan

MANILA: Tentera Filipina menghantar pesawat tempur ringan untuk mengawasi ratusan kapal China di perairan dipertikaikan di Laut China Selatan.

Setiausaha Pertahanan, Delfin Lorenzana, dalam satu kenyataan semalam, berkata lebih 200 kapal milik China itu berlabuh di Terumbu Whitsun, dalam radius 200 batu nautika lingkungan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Manila.

"Kementerian Pertahanan Filipina menghantar pesawat tentera setiap hari untuk memantau keadaan dan kami mengulangi permintaan supaya armada China itu mengundurkan diri.

"Tentera juga akan meningkatkan kehadiran angkatan laut di Laut China Selatan untuk melakukan rondaan mempertahankan kedaulatan dan melindungi nelayan Filipina.

"Aset udara dan laut kami bersedia melindungi kedaulatan dan hak kami," tegas beliau.

Kebimbangan antarabangsa semakin meningkat terhadap apa yang digambarkan Filipina sebagai ancaman lebih 200 kapal China, dipercayai Manila dikendalikan oleh militia maritim.

Kedutaan Besar China di Filipina tidak memberi sebarang komen tetapi sebelum ini pernah mendakwa kapal di Terumbu Whitsun itu adalah kapal nelayan yang berlindung daripada laut bergelora dan tidak ada militia di atasnya.

Presiden Filipina Rodrigo Duterte, melalui jurucakapnya, menegaskan kembali kepada Duta Besar China, Huang Xilian, bahawa Filipina memenangi kes berkaitan hak Terumbu Whitsun di Mahkamah Timbang Tara pada 2016.

Filipina mengulangi peringatan itu bagi mempertahankan hak kedaulatan maritim di wilayah terbabit berikutan tuntutan bertindih yang dibuat China baru-baru ini.

Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan, China dan Vietnam mengemukakan tuntutan bertindih sempadan maritim di Laut China Selatan, yang menyaksikan laluan perdagangan laut membabitkan AS$3.4 trillion (RM12.1 trilion) setahun. - AGENSI

Berita Harian X