Sabtu, 27 March 2021 | 6:40pm
Penduduk tempatan dilihat memancing di Tasik Taal berlatarkan Gunung Berapi Taal yang sedang meletus di pekan Tanauan, wilayah Batangas di Filipina. - Foto AFP
Penduduk tempatan dilihat memancing di Tasik Taal berlatarkan Gunung Berapi Taal yang sedang meletus di pekan Tanauan, wilayah Batangas di Filipina. - Foto AFP

302 gegaran susulan dicatat di Gunung Berapi Taal dalam 24 jam

MANILA: Gunung berapi Taal diletakkan di bawah Amaran Tahap 2 selepas 302 gegaran direkodkan di daerah itu dalam tempoh 24 jam lalu.

Menurut laporan Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (PHIVOLCS) pagi tadi, 193 gegaran susulan volkanik berlangsung antara seminit hingga 12 minit dikesan, selain 118 lagi gempa bumi volkanik berfrekuensi rendah.

"Kegiatan di kawah utama termasuk pelepasan wap yang lemah dari kawah kecil yang naik pada ketinggian sehingga 10 meter.

"Suhu tertinggi 71.8 darjah Celsius kali terakhir diukur dari tasik Kawah Utama pada 4 Mac dan 12 Februari lalu," katanya.

Menurut PHIVOLCS lagi, data terbabit menunjukkan bahawa wilayah Taal mengalami pembesaran dan pengembangan yang sangat perlahan tetapi stabil bermula sejak letusan pada Januari 2020.

Katanya, parameter itu mungkin menunjukkan peningkatan kegiatan magma pada tasik lahar yang cetek di bawah bumbung kawah gunung berapi.

Sehubungan itu, semua kegiatan di kawasan sekitar kaki gunung berapi termasuk tasik berhampiran, adalah dilarang sama sekali manakala ratusan penduduk setempat sudah dipindahkan.

PHIVOLCS turut menggesa pihak berkuasa tempatan melakukan pemantauan berterusan, mematuhi arahan semasa dan sentiasa berjaga-jaga.

Jabatan penerbangan awam juga diminta mengeluarkan amaran supaya juruterbang tidak menghampiri Gunung Berapi Taal berikutan asap tebal, debu dan serpihan semakin banyak berterbangan ekoran letusan yang semakin kerap. - AGENSI

Berita Harian X