Isnin, 22 Februari 2021 | 5:11pm
Gambar fail menunjukkan kapal pengawal pantai Amerika Syarikat (AS), Bertholf, mengadakan latihan bersama dengan tentera laut Filipina dekat beting Scarborough di Laut China Selatan. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan kapal pengawal pantai Amerika Syarikat (AS), Bertholf, mengadakan latihan bersama dengan tentera laut Filipina dekat beting Scarborough di Laut China Selatan. - Foto AFP

Filipina tidak gentar ancaman China, akan pertahan wilayahnya

MANILA: Filipina menegaskan akan mempertahankan wilayah maritim negara itu daripada ancaman China yang meluluskan undang-undang kontroversi baharu.

China pada 1 Februari lalu, menguatkuasakan undang-undang memberi kebebasan kepada pengawal pantainya untuk menembak kapal asing, yang dikhuatiri mendorong tindakan ketenteraan di perairan serantau.

Jurucakap Angkatan Bersenjata Filipina, Mejar Jeneral Edgard Arevalo, memberi jaminan bahawa tenteranya tidak terkesan dengan undang-undang baharu China itu.

"Kami akan menjalankan mandat Perlembagaan Filipina dan secara konsisten mempertahankan kedaulatan kami di Laut Filipina Barat dan Laut China Selatan.

"Perlindungan wilayah kami dan menegakkan kepentingan rakyat adalah kepentingan utama, kami akan tegas dalam melindungi wilayah maritim biar apa pun tindakan negara lain," katanya dalam satu kenyataan.

Sabtu lalu, Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) turut menyuarakan kebimbangan mengenai undang-undang baharu China itu dan menegaskan akan mengambil tindakan balas sewajarnya.

Jurucakapnya, Ned Price, berkata AS bimbang China mungkin menggunakan undang-undang baharu itu untuk menuntut kawasan maritim yang lebih luas di Laut China Selatan.

"Sebaliknya, China harus mematuhi persempadanan maritim yang ditetapkan tribunal timbang tara pada 2016 dan jangan mencabar kedaulatan negara lain.

"Tindakan China berulang kali menghantar armada tentera dan pesawat pengebom ke kawasan perairan yang dipertikaikan adalah satu ancaman.

"Kami akan bersama rakan dan sekutu untuk meningkatkan keamanan serta nilai kemakmuran bersama di wilayah maritim berkenan," katanya.

Ketua Anggota Angkatan Bersenjata Filipina, Leftenan Jeneral Cirilito Sobejana, sebelum ini mengerahkan penempatan lebih banyak kapal perang di Laut Filipina Barat.

Ia bertujuan melindungi nelayan negara itu berikutan kerap menghadapi masalah daripada angkatan tentera laut China yang menceroboh kawasan penangkapan ikan di wilayah yang dipertikaikan di Laut China Selatan.

"Saya ingin menegaskan bahawa kehadiran tentera laut kita di sana (Laut Filipina Barat) bukan (bertujuan untuk melancarkan) perang terhadap China tetapi untuk melindungi rakyat kita sendiri," katanya.

Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana, turut menzahirkan kebimbangan mungkin berlaku kemalangan antara kapal peronda di kawasan dipertikaikan, angkara undang-undang baharu China.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan kepada nelayan Filipina bahawa mereka akan selamat dan mendorong mereka terus menjalankan kegiatan menangkap ikan di kawasan biasa dekat Laut China Selatan.

Tuntutan wilayah maritim China itu merangkumi perairan di Asia Tenggara yang kaya dengan sumber asli khususnya Laut China Selatan, sekali gus menyebabkan perselisihan dengan Malaysia, Filipina, Indonesia, Thailand dan Vietnam. - AGENSI

Berita Harian X