Ahad, 21 Februari 2021 | 9:03am
Jakarta dilanda banjir susulan hujan lebat semalaman. FOTO AFP
Jakarta dilanda banjir susulan hujan lebat semalaman. FOTO AFP

5 maut, lebih 1,300 warga Jakarta dipindahkan akibat banjir

JAKARTA: Banjir besar yang menenggelamkan beberapa kawasan di ibu negara Indonesia semalam mengorbankan lima mangsa setakat ini.

Hujan lebat hujung minggu lalu menyebabkan air naik setinggi 1.8 meter sehingga beberapa laluan utama terputus hubungan dan memaksa ribuan penduduk berlindung di penempatan sementara.

Pemangku Ketua Agensi Bencana Jakarta, Sabdo Kurnianto, berkata seorang lelaki berusia 67 tahun ditemui mati selepas terperangkap dalam rumahnya di wilayah selatan.

"Sementara itu, tiga budak lelaki maut selepas hanyut dibawa arus manakala seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan lemas," katanya kepada AFP.

Banjir dilaporkan berlaku susulan hujan lebat berterusan semalaman selain akibat limpahan Sungai Cideng yang tidak mampu menampung jumlah aliran air meningkat akibat hujan.

Gabenor Jakarta, Anies Baswedan, dilaporkan berkata lebih 200 kawasan penempatan terjejas akibat banjir besar itu dan lebih 12 pusat pemindahan banjir diarahkan bersedia untuk dibuka.

Agensi kaji cuaca Indonesia memberi amaran, hujan akan berterusan sehingga minggu depan dan kemungkinan lebih banyak banjir akan berlaku di Jakarta dalam tempoh itu.

Ketua Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG), Dwikorita Karnawati, berkata hujan lebat diramalkan berterusan, melanda Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang dan Bekasi sepanjang minggu ini.

Sementara itu di Filipina, ribuan orang dipindahkan ketika ribut tropika Dujuan menghampiri selatan negara itu.

Ribut itu kini berada 320 kilometer (km) ke timur Hinatuan, Surigao del Sur dan mula bergerak ke arah barat laut pada kelajauan 15 kilometer sejam (kp/j).

Menurut Agensi Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana, kira-kira 51,400 orang sudah dipindahkan ke 331 pusat pemindahan di wilayah Surigao del Norte, Surigao del Sur, Agusan del Norte, Kepulauan Dinagat dan Kota Butuan.

"Ini ribut pertama melanda Filipina tahun ini, bertiup pada kelajuan maksimum 65 kp/j dan tiupan angin boleh meningkat sehingga 80 kp/j," kata Biro Cuaca Negeri.

Ribut Dujuan, yang juga dikenali sebagai Auring, diramalkan tiba di Kepulauan Dinagat-Samar Timur-Leyte, sekitar 600 km hingga 700 km ke selatan Manila lewat hari ini hingga pagi Isnin. - AGENSI

Berita Harian X