X
Jumaat, 1 Januari 2021 | 4:44pm
Unggun api dinyalakan sebahagian penduduk ketika meraikan Malam Tahun Baharu di Manila. - Foto EPA
Unggun api dinyalakan sebahagian penduduk ketika meraikan Malam Tahun Baharu di Manila. - Foto EPA

Insiden Tahun Baharu: Peluru sesat korbankan kanak-kanak 12 tahun

MANILA: Peluru sesat meragut nyawa kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun ketika sambutan Tahun Baharu di Lanao del Norte, kata Polis Nasional Filipina (PNP), hari ini.

Jurucakap PNP, Brigadier Jeneral Ildebrandi Usana, berkata kejadian itu satu-satunya meragut satu korban ketika sambutan Tahun Baharu, dilaporkan berlaku sekitar jam 1 pagi tadi.

"Insiden itu mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang maut akibat peluru sesat. Kejadian berlaku di Lanao del Norte," katanya pada sidang media.

Brig Jeneral Usana berkata, mangsa ketika itu bermain di luar dengan sepupunya sambil memegang patung mainan, namun tiba-tiba rebah ke tanah.

Katanya, mangsa pada mulanya dipercayai terjatuh, namun kemudian disedari sebenarnya terkena tembakan peluru di kepalanya.

"Doktor yang memeriksanya mendapati mangsa bukan jatuh tetapi mempunyai kesan peluru.

"Polis sudah menjalankan siasatan dan menunggu laporan bedah siasat bagi mengeluarkan peluru di kepala mangsa," katanya.

Sementara itu, dua yang lain turut cedera angkara peluru sesat ketika kedatangan Tahun Baharu, termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun.

Kanak-kanak itu, yang berasal dari Sta Catalina, Negros Occidental, cedera di bahagian perutnya semasa dia membuang air kecil di luar rumahnya.

Usana berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 2 pagi.

Katanya, kanak-kanak itu sedang dirawat di hospital.

Kejadian peluru sesat yang lain dilaporkan di Bandar Dagupan di mana seorang lelaki cedera di kakinya.

Usana berkata, mangsa dikatakan sedang mahu tidur terkena peluru sesat yang menembusi bumbung rumah dan terkena pada kakinya dalam kejadian sekitar jam 3 pagi. - AGENSI

Berita Harian X