Sabtu, 19 Disember 2020 | 5:43pm
Police Indonesia mempertingkatkan operasi membanteras kegiatan Jemaah Islamiah (JI) berikutan penahanan pemimpin kanan pertubuhan itu, Zulkarnaen, 57, yang turut terbabit dalam kes pengeboman di Bali pada 2002. - Foto AFP
Police Indonesia mempertingkatkan operasi membanteras kegiatan Jemaah Islamiah (JI) berikutan penahanan pemimpin kanan pertubuhan itu, Zulkarnaen, 57, yang turut terbabit dalam kes pengeboman di Bali pada 2002. - Foto AFP

Polis jumpa kotak derma didakwa milik kumpulan militan

JAKARTA: Polis Indonesia menemui 20,068 kotak derma diletakkan di 12 wilayah di seluruh negara bagi tujuan mengumpul wang untuk membiayai kegiatan kumpulan pengganas, Jemaah Islamiah (JI).

Jurucakap Polis Indonesia, Inspektor Jeneral Argo Yuwono, berkata kotak derma berkenaan diedarkan menerusi Yayasan Kebajikan Abdurrachman Bin Auf (ABA).

"JI kini sedang cuba mendapatkan dana daripada orang ramai berikutan kesukaran untuk memperoleh sumbangan daripada kalangan anggota sendiri.

"Kami mengetahui mengenai jumlah kotak derma itu berdasarkan maklumat daripada seorang suspek bernama Fitria Sanjaya, yang juga dikenali sebagai Acil.

"Suspek yang ditahan ini ialah anggota yayasan berkenaan," katanya, yang dipetik tribunnews.com.

Kebanyakan kotak derma itu ditemui di wilayah Lampung, iaitu sebanyak 6,000 kotak diikuti 4,000 kotak di Sumatera Utara; 2,000 di Yogyakarta; 2,000 di Magetan dan 2,500 di Malang, Jawa Timur.

Kotak itu turut ditemui di Jakarta, Pati di Jawa Tengah, Semarang, Pati, Temanggung dan Surakarta serta Ambon di Maluku.

Mengulas lanjut, Argo berkata kumpulan itu mula mengedarkan kotak berkenaan kerana kekurangan sumber dana operasi.

"Difahamkan, pertubuhan itu berhasrat mengutip wang daripada orang awam melalui kotak kebajikan dan perhimpunan agama," katanya.

Seorang lagi jurucakap Polis Indonesia, Brigadier Jeneral Awi Setyono, pada 30 November lalu, berkata kotak derma itu adalah antara sumber dana bagi kumpulan berkenaan selain sebuah syarikat milik anggota JI.

"Kami dapati hasil kutipan kotak ini disalah guna dan diletakkan di kedai serbaneka di seluruh Indonesia," kata Awi.

Dana itu didakwa digunakan untuk pelbagai tujuan, daripada menghantar anggota JI ke Syria hingga membeli senjata dan bahan letupan.

Argo berkata, terdapat cara untuk orang ramai mengenali kotak derma yang dikaitkan dengan JI itu.

"Ciri pertama adalah sebahagian daripada kotak itu dibuat daripada kaca dengan rangka aluminium, yang ditemui di Jakarta, Lampung, Malang, Surabaya, Temanggung, Yogyakarta dan Semarang.

"Kotak kaca dengan rangka kayu ditemui di Solo (Surakarta), Sumatra Utara, Pati, Magetan dan Ambon," katanya. - AGENSI

Berita Harian X