Selasa, 15 Disember 2020 | 4:46pm
Perintah darurat di selatan Thailand dilanjutkan tiga bulan lagi. - Foto AFP
Perintah darurat di selatan Thailand dilanjutkan tiga bulan lagi. - Foto AFP

Darurat di selatan Thailand lanjut 3 bulan lagi

BANGKOK: Jawatankuasa Pengurusan Keadaan Kecemasan (ESAC) Thailand, semalam mengumumkan darurat di wilayah selatan merangkumi Yala, Pattani dan Narathiwat akan dilanjutkan tiga bulan lagi, bermula 20 Disember ini.

Menurut kenyataan jawatankuasa dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan, keputusan dibuat berdasarkan risiko ancaman pemberontak di ketiga-tiga wilayah itu dan kemungkinan berlaku keganasan.

Bagaimanapun, kata Prawit, darurat tidak diisytiharkan di daerah Mae Larn dan Mai Kaen di Pattani; Betong di Yala; Sungai Golok, Sukhirin dan Si Sakhon di Narathiwat.

Menurut kenyataan itu lagi, kesemua kawasan yang penting kepada pembangunan ekonomi di ketiga wilayah terbabit adalah terkecuali daripada pelaksanaan darurat.

Warta Diraja. dalam pengumuman di laman sesawangnya, turut mengesahkan kerajaan akan melanjutkan tempoh darurat selama tiga bulan lagi di wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani di Selatan Thailand.

Keputusan itu ditandatangani Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha, pada 11 September lalu dan diluluskan oleh Kabinet Thailand.

Menurut pengumuman sama, lanjutan tempoh itu adalah bagi membolehkan pihak berkuasa menjejaki semua pemberontak yang mengancam keamanan negara selain memastikan keselamatan penduduk setempat. - AGENSI

Berita Harian X