Rabu, 9 Disember 2020 | 11:40am
Kakitangan petugas Jawatankuasa Suruhanjaya Pilihanraya Umum Indonesia memakaikan sarung tangan plastik kepada pengundi di pusat pengundian di Depok, Indonesia sempena Pilihan Raya Kepala Daerah 2020 (PILKADA) hari ini. - Foto EPA
Kakitangan petugas Jawatankuasa Suruhanjaya Pilihanraya Umum Indonesia memakaikan sarung tangan plastik kepada pengundi di pusat pengundian di Depok, Indonesia sempena Pilihan Raya Kepala Daerah 2020 (PILKADA) hari ini. - Foto EPA

Indonesia adakan Pilihan Raya Kepala Daerah hari ini

JAKARTA: Pilihan Raya Kepala Daerah 2020 (PILKADA) Indonesia diadakan hari ini dengan lebih 100 juta pengundi dijangka keluar mengundi, walaupun ada amaran ia akan menyebabkan gelombang baharu pandemik COVID-19.

Pemilihan ketua daerah serentak akan diadakan di 270 wilayah, termasuk di sembilan provinsi, 37 kota dan 224 daerah.

Sebelum ini, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menegaskan bahawa PILKADA tidak boleh ditangguh sehingga wabak berakhir kerana tidak ada negara yang tahu bilakah ia akan tamat dan perlu dilakukan bagi memastikan hak perlembagaan rakyat untuk memilih dan dipilih adalah dilindungi,

Media negara itu turut melaporkan, Jawatankuasa Pilihan Raya Umum Indonesia sudah mengadakan tiga simulasi pilihan raya minggu lalu dan prosedur operasi standard (SOP) pengundian.

Setiap pengundi perlu melalui pemeriksaan suhu badan terlebih dahulu sebelum dibenarkan mengundi kerana mengikut SOP dan pilihan raya itu dilaksanakan bermula jam 7 pagi hingga 1 tengah hari dan dilakukan dalam lima waktu bagi mengelak pengundi datang serentak.

Selain itu, SOP pilihan raya juga menetapkan setiap pengundi diarahkan memakai sarung tangan pakai buang semasa proses pengundian dan pada masa sama, polis dan tentera bertanggungjawab mengawasi lokasi pengundian bagi mengawal keselamatan orang ramai.

Bagaimanapun, penganalisis politik di Institut Sains Indonesia, Siti Zuhro bimbang pertambahan bilangan kes jangkitan COVID-19 selepas pilihan raya itu.

"Saya takut lebih ramai orang akan dijangkiti dan mati.

"Perkara yang paling membimbangkan adalah bahawa bukan hanya orang muda tetapi juga warga emas, wanita hamil dan orang sakit - mereka semua berisiko tinggi," katanya.

Ratusan calon berharap untuk mengisi 270 jawatan, termasuk gabenor wilayah, ketua daerah dan datuk bandar, termasuk anak lelaki Jokowi, Gibran Rakabuming Raka, 33 tahun, mencalonkan diri sebagai datuk bandar Solo di Jawa Tengah.

Sekurang-kurangnya lima calon pilihan raya dilaporkan meninggal dunia setakat ini dan lebih daripada 1,000 kakitangan agensi pilihan raya dijangkiti menjelang hari pengundian. - Foto AFP

Berita Harian X