Rabu, 25 November 2020 | 4:49pm
Pihak berkuasa Thailand menembak meriam air bagi menyuraikan penunjuk perasaan prodemokrasi di Bangkok. - Foto AFP
Pihak berkuasa Thailand menembak meriam air bagi menyuraikan penunjuk perasaan prodemokrasi di Bangkok. - Foto AFP

12 pemimpin tunjuk perasaan prodemokrasi Thailand dipanggil polis

BANGKOK: Pihak polis Thailand memanggil 12 pemimpin tunjuk perasaan prodemokrasi bagi memberi keterangan berhubung dakwaan menghina institusi diraja negara itu, mengikut Seksyen 112 Kanun Keseksaan.

Perundangan itu disifatkan sebagai keterlaluan lagi kejam kerana individu yang didapati bersalah memfitnah, menghina atau mengecam Raja, permaisuri atau keturunannya boleh dihukum penjara antara tiga hingga 15 tahun.

Ini adalah kali pertama undang-undang berkenaan digunakan dalam tempoh tiga tahun lalu, ketika gerakan prodemokrasi melancarkan satu lagi perhimpunan besar-besaran hari ini di Bangkok.

Ketegangan di ibu negara dilihat kian meruncing, dengan pihak berkuasa menembak meriam air dan gas pemedih mata bagi menyuraikan peserta perhimpunan yang tidak putus-putus mengadakan tunjuk perasaan sejak empat bulan lalu.

Setakat ini, 55 orang dilaporkan mengalami kecederaan dan enam lagi terkena tembakan yang puncanya sehingga kini masih dalam siasatan.

Kegiatan menconteng ibu pejabat polis juga terus berleluasa di tengah ibu kota Bangkok, yang menyaksikan peserta perhimpunan membaling cat ke dinding dan perkarangan bangunan berkenaan.

Gerakan prodemokrasi itu menggesa Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha, yang mengambil alih tampuk kerajaan menerusi rampasan kuasa pada 2014, supaya meletak jawatan dan menuntut pindaan Perlembagaan serta reformasi monarki.

Minggu lalu, Prayut memberi kebenaran kepada pihak berkuasa untuk menggunakan Seksyen 112 Kanun Keseksaan yang juga dikenali sebagai undang-undang 'lese majeste' (derhaka) bagi mendakwa aktivis prodemokrasi.

Thailand mempunyai antara perundangan paling tegas di dunia berhubung kesalahan menghina institusi diraja terutama sebarang kritikan terhadap Raja termasuk kandungan yang dimuat naik di media sosial.

Mengikut Seksyen 112 Kanun Keseksaan juga, mana-mana individu yang bersabit kesalahan boleh dihukum penjara antara tiga hingga 15 tahun bagi setiap kesalahan.

Peguam Thailand bagi hak asasi manusia berkata antara 12 pemimpin demonstrasi dipanggil memberi keterangan termasuk Anon Numpha, Panupong 'Mike' Jaadnok, Panusaya 'Rung' Sithijirawattanakul dan Parit 'Penguin' Chiwarak.

Parit berkata tindakan pihak berkuasa menggunakan perundangan bersifat kejam itu tidak akan menyekat kemaraan peserta tunjuk perasaan.

"Saya sedikit pun tidak takut dan percaya penggunaan Seksyen 112 ini hanya akan menarik lebih ramai orang menyertai perhimpunan hari ini.

"Adakah ini bermakna institusi diraja mengisytiharkan peperangan terhadap rakyatnya, mungkinkah begitu?" katanya. - AFP

Berita Harian X