Selasa, 24 November 2020 | 5:37pm
Tindakan Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn dan Puteri Suthida mencemar duli menemui penyokong tidak mampu meredakan tunjuk perasaan prodemokrasi di negara itu. - Foto AFP
Tindakan Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn dan Puteri Suthida mencemar duli menemui penyokong tidak mampu meredakan tunjuk perasaan prodemokrasi di negara itu. - Foto AFP

Bahang tunjuk perasaan prodemokrasi Thailand makin meningkat

BANGKOK: Bahang tunjuk perasaan prodemokrasi di Thailand terus meningkat dengan ketegangan makin memuncak menjelang tunjuk perasaan besar-besaran yang dirancang esok.

Polis terpaksa melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air bagi mengawal keadaan di beberapa jalan utama jalanan sekitar ibu kota negara itu, yang turut menyaksikan enam penunjuk perasaan ditembak baru-baru ini.

Selepas empat bulan tunjuk perasaan berlangsung, dengan ada yang disertai puluhan ribu penunjuk perasaan, semangat mereka makin kental dan menegaskan tidak sekali-kali sedia bertolak ansur.

Laungan dan cercaan terhadap monarki, yang selama ini dianggap sebagai perkara terlarang di negara itu, kini semakin lantang manakala polis anti rusuhan pula menegaskan mereka sedia mengambil tindakan terhadap penunjuk perasaan.

Gerakan pimpinan pelajar yang memperoleh sokongan kuat di jalanan dan melalui media sosial itu difahamkan mungkin mendapat sokongan kumpulan 'Baju Merah' yang terbabit dalam demonstrasi jalanan di Bangkok 10 tahun lalu.

Gerakan prodemokrasi itu menggesa Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha, yang mengambil alih tampuk kerajaan menerusi rampasan kuasa pada 2014, supaya meletak jawatan dan menuntut pindaan Perlembagaan serta reformasi monarki.

Tidak seperti gerakan tunjuk perasaan di Thailand sebelum ini, majoriti peserta protes prodemokrasi adalah penduduk muda kelas pertengahan.

Justeru, pihak berkuasa mungkin bertindak diplomatik supaya imej Thailand pada peringkat antarabangsa tidak tercemar, seperti mana tindakan keras terhadap gerakan 'Baju Merah' pada 2010 yang mengorbankan 90 nyawa.

Bagaimanapun, pihak berkuasa memberi kata dua akan lebih tegas kali ini termasuk menggunakan 'Seksyen 112' iaitu undang-undang menghina monarki yang boleh mengakibatkan seseorang dipenjara sehingga 15 tahun jika bersabit kesalahan.

Raja Thailand, Raja Maha Vijaralongkorn, yang tidak banyak kelihatan di khalayak ramai sebelum gerakan tunjuk perasaan memuncak, kini kerap mendampingi rakyatnya.

Namun, baginda tetap menjadi tokoh penuh kontroversi dan tidak dapat menyaingi populariti bapanya, Raja Bhumibol Adulyadej, yang mangkat pada 2016 selepas bertakhta selama tujuh dekad.

Dalam pada itu, keputusan Mahkamah Perlembagaan Thailand minggu depan, membabitkan Prayut yang menghadapi tuduhan menyalah gunakan kediaman rasmi ketua tentera, dijangka membawa perubahan besar.

Ini kerana sekiranya didapati bersalah, beliau boleh dilucutkan jawatan, sekali gus berupaya meredakan ketegangan di jalanan. - AGENSI

Berita Harian X