X
Rabu, 18 November 2020 | 6:35am
Gambar fail polis antirusuhan Thailand berdepan penunjuk perasaan di Bangkok. - FOTO AFP
Gambar fail polis antirusuhan Thailand berdepan penunjuk perasaan di Bangkok. - FOTO AFP

Rusuhan di Thailand, 23 cedera

BANGKOK: Polis antirusuhan Thailand menembak gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan penunjuk perasaan antikerajaan yang cuba memotong kawat berduri dan mengalih penghadang konkrit di luar Bangunan Parlimen di sini, menyebabkan sekurang-kurangnya 23 cedera, termasuk lima akibat ditembak.

Ratusan penunjuk perasaan antikerajaan berkumpul di luar Parlimen ketika Ahli Parlimen membincangkan usul untuk meminda perlembagaan sejak 3 petang (waktu tempatan) semalam.

Gas pemedih mata berwarna hijau digunakan polis antirusuhan bagi menyuraikan penunjuk perasaan. - Foto AFP
Gas pemedih mata berwarna hijau digunakan polis antirusuhan bagi menyuraikan penunjuk perasaan. - Foto AFP

Terdahulu polis mengeluarkan amaran tidak membenarkan penunjuk perasaan berada 50 meter dari Bangunan Parlimen.

Walaupun diberi amaran, penunjuk perasaan antikerajaan itu tetap berkumpul di dua tempat iaitu Kiak Kai dan Samsen Road, terletak berhampiran Parlimen dan mula mengalihkan penghadang.

Polis antirusuhan menembak meriam air diikuti gas pemedih mata kepada penunjuk perasaan yang memakai topi keledar dan topeng yang cuba memotong kawat berduri.

Penunjuk perasaan yang marah dengan tindakan polis itu, kemudiannya bertindak membaling bom asap berwarna serta botol air ke arah polis.

Ambulans kelihatan membawa mereka yang cedera ke hospital. Pusat Perubatan Erawan di Bangkok melaporkan, sekurang-kurangnya 12 orang cedera akibat gas pemedih mata dan lima mengalami kecederaan akibat tembakan di pergelangan tangan, kaki serta perut manakala selebihnya mengalami kecederaan lain. Kesemua mereka menerima rawatan di hospital berdekatan.

Sementara itu, jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri berkata, polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata selepas penunjuk perasaan tidak menghiraukan amaran berulang kali dan cuba membolosi halangan untuk memasuki kawasan Parlimen.

"Polis berulang kali memberi amaran kepada mereka (penunjuk perasaan) supaya tidak masuk tetapi mereka tidak mengendahkannya dan berusaha memusnahkan penghadang. Itulah sebabnya polis mengambil tindakan," katanya.

Sementara itu, kumpulan menyokong Raja, memakai baju shirt kuning yang berkumpul di luar Bangunan Parlimen membantah pindaan perlembagaan, bertembung dengan penunjuk perasaan antikerajaan di Kiak Kai Road.

Saksi melaporkan, kedua-dua kumpulan dilihat saling membaling botol air dan batu.

Penunjuk perasaan membersih muka selepas terkena gas pemedih mata. - Foto BERNAMA
Penunjuk perasaan membersih muka selepas terkena gas pemedih mata. - Foto BERNAMA

Sejak pertengahan Julai, penunjuk perasaan antikerajaan mengadakan perhimpunan di Bangkok dan bandar lain mengulangi tuntutan untuk perubahan politik, termasuk perdana menteri meletakkan jawatan, pembubaran Parlimen, pindaan perlembagaan dan reformasi kepada sistem beraja.

Pemimpin tunjuk perasaan, Parit Chiwarak mengumumkan berakhirnya perhimpunan hari ini di luar Bangunan Parlimen kira-kira 9 malam tadi.

"Perhimpunan besar akan diadakan secara berterusan, mulai esok," katanya kepada penunjuk perasaan.

Peguam hak asasi manusia Arnon Nampa yang juga antara pemimpin tunjuk perasaan yang dibebaskan dari penjara baru-baru ini meminta penunjuk perasaan berkumpul di daerah perniagaan Bangkok, Ratchaprasong, hari ini pada jam 4 petang. - BERNAMA

Berita Harian X