Ahad, 15 November 2020 | 7:28pm
Penunjuk perasaan pro demokrasi Thailand mengangkat tangan dengan memberi salam tiga jari ketika protes di Monumen Demokrasi di Bangkok. - Foto EPA
Penunjuk perasaan pro demokrasi Thailand mengangkat tangan dengan memberi salam tiga jari ketika protes di Monumen Demokrasi di Bangkok. - Foto EPA

Penunjuk perasaan pro demokrasi Thailand terus protes

BANGKOK: Penunjuk perasaan pro demokrasi Thailand berkumpul di monumen Bangkok malam tadi sambil membuka kain rentang raksasa yang ditulis dengan slogan anti kerajaan, manakala kumpulan hip hop Thailand menyasarkan monarki dengan lagu baharu mereka.

Kerajaan selama berbulan-bulan berdepan demonstrasi besar-besaran yang dipimpin oleh siswa menuntut perlembagaan baharu, perubahan pada cara keluarga diraja beroperasi dan Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha yang merampas kuasa pada 2014 untuk mengundurkan diri.

Beribu orang hadir untuk perhimpunan bertema karnival yang dikenali "Mob Fest" di Monumen Demokrasi, persimpangan utama di Bangkok.

Pada sebelah petangnya pula, pelajar sekolah menengah dan penunjuk perasaan lain menulis menggunakan pen dan mesej yang dilukis dengan semburan pada kepingan putih gergasi.

"Anda telah mencuri masa depan saya yang cerah. Demokrasi akan menang," katanya.

Penunjuk perasaan menyanyikan lagu Les Miserables versi Thailand 'Adakah Anda Mendengar Orang Menyanyi?' dan orang ramai mengangkat tangan dengan memberi salam tiga jari, merujuk budaya pop pada filem 'Hunger Games'.

Kumpulan sensasi hip-hop Thailand, Rap Against Dictatorship melancarkan lagu terbaru mereka 'Reform' di hadapan penonton secara langsung pada tunjuk perasaan semalam dan memperoleh 1.4 juta tontonan di YouTube.

Sebelum ini, ikon muzik kontra budaya itu mengundang masalah kepada pihak berkuasa Thailand dan dua anggota kumpulan, Dechathorn Bamrungmuang 'HockHacker' dan Thanayut Na Ayutthaya 'Eleven Finger' ditangkap dan didakwa dengan hasutan pada Ogos lalu, tetapi kemudian dibebaskan dengan jaminan.

Pejabat Nasional Buddhisme Thailand minggu ini turut mengeluarkan perintah melarang sami menghadiri tunjuk perasaan besar-besaran, tetapi itu tidak menghalang dua sami untuk turut serta.

Sebelumnya pelajar sekolah menengah yang marah dan menggelar diri mereka sebagai gerakan Mahasiswa turut mengadakan demonstrasi di luar Kementerian Pendidikan Thailand sebelum berarak untuk menyertai perhimpunan utama untuk meminta Menteri Pendidikan, Nataphol Teepsuwan mengundurkan diri.

"Dia gagal mereformasi sistem pendidikan, maka kami anggap dia sudah mati," kata seorang pelajar, Anna 15, kepada AFP.

Pelajar meminta untuk memperbaiki sistem sekolah, kurikulum, peraturan ketat, kod berpakaian dan potongan rambut standard. - AFP

Berita Harian X