Ahad, 8 November 2020 | 10:30pm
Polis anti-rusuhan Thailand berkawal di luar Istana Negara di Bangkok ketika dihampiri penunjuk perasaan pro-demokrasi. - Foto AFP
Polis anti-rusuhan Thailand berkawal di luar Istana Negara di Bangkok ketika dihampiri penunjuk perasaan pro-demokrasi. - Foto AFP

Polis Thailand guna meriam air halang perarakan pro-demokrasi ke istana

BANGKOK: Polis Thailand menembak meriam air bagi menghalang penunjuk perasaan pro-demokrasi berarak ke istana kerajaan untuk menyampaikan tuntutan reformasi sistem monarki.

Perhimpunan diterajui pelajar itu berlangsung sejak Julai lalu, dengan penunjuk perasaan turut mendesak pemecatan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-Cha, bekas pemimpin tentera yang merampas kuasa pada 2014.

Gerakan tanpa pemimpin itu juga menuntut pembaharuan sistem monarki, yang dianggap perkara terlarang selama ini, sekali gus mencetuskan kejutan dalam kalangan penyokong setia keluarga diraja Thailand.

Hari ini, kira-kira 5,000 penunjuk perasaan cuba berarak dari Monumen Demokrasi di Bangkok menuju ke Istana Besar untuk menyampaikan surat kepada Raja Maha Vajiralongkorn, biarpun polis mengarahkan mereka untuk berhenti.

Ketika penunjuk perasaan semakin dekat, polis menembak meriam air ke arah mereka dan menimbulkan kemarahan penunjuk perasaan yang berteriak membantah tindakan yang diambil terhadap mereka.

Pihak berkuasa sebelum ini sudah memberi amaran bahawa penunjuk perasaan dilarang melanggar radius 150 meter di sekitar istana dan sekitar 9,000 pegawai dikerahkan berkawal.

Ini adalah tunjuk perasaan kedua di mana polis menggunakan meriam air terhadap peserta demonstrasi, selepas perkara sama berlaku ketika perhimpunan di Bangkok bulan lalu di mana mereka disembur dengan air dicampur bahan kimia.

Sebelum perarakan ke Istana Besar, tunjuk perasaan di Monumen Demokrasi berlangsung secara aman dengan penunjuk perasaan melaungkan 'Prayut keluar' dan mengangkat tabik tiga jari sebagai simbol protes.

Mereka juga membaling bunga ke dalam di keranda yang memaparkan wajah Prayut.

Hari ini, tokoh pro-demokrasi turut meminta perkenan Raja Maha Vajiralongkorn untuk mengadakan dialog dengan penunjuk perasaan.

Salah seorang aktivis yang juga peguam, Anon Numpa, berkata mereka berharap baginda akan mengubah sikap dan menjadi Raja semua rakyat.

"Kami mohon baginda berfikiran terbuka dan berdialog dengan kami untuk menyelesaikan krisis secara bersama," katanya.

Tuntutan itu semakin lantang berikutan tuduhan bahawa golongan elit dan pimpinan diterajui Prayut bersekongkol untuk menjaga kepentingan sendiri sehingga kebajikan rakyat terabai.

Sekumpulan kecil penyokong pro-monarki turut kelihatan di Monumen Demokrasi sambil memegang potret Raja Vajiralongkorn tetapi mereka meninggalkan kawasan itu selepas lebih ramai penunjuk perasaan pro-demokrasi tiba. - AFP

Berita Harian X