Sabtu, 31 Oktober 2020 | 10:16am
 Aktivis pro-demokrasi, Panupong "Mike" Jadnok dibawa ke hospital selepas tidak sedarkan diri di Balai Polis di Bangkok. - Foto AFP
Aktivis pro-demokrasi, Panupong "Mike" Jadnok dibawa ke hospital selepas tidak sedarkan diri di Balai Polis di Bangkok. - Foto AFP

Pemimpin pro-demokrasi Thailand dikejarkan ke hospital

BANGKOK: Seorang pemimpin utama tunjuk perasaan di Thailand dikejarkan ke hospital dari Balai Polis Bangkok semalam, ketika kekecohan tercetus selepas dia dan dua lagi individu dibebaskan dengan jaminan atas dakwaan menghasut.

Panupong "Mike" Jadnok dilihat tidak sedarkan diri ketika dimasukkan ke dalam ambulans.

Media tempatan melaporkan Jadnok pengsan selepas 'dicekik' polis berpakaian preman.

Jadnok, Panusaya "Rung" Sithijirawattanakul dan Parit "Penguin" Chiwarak yang ditahan sejak pertengahan bulan ini, antara individu utama dalam gerakan pro-demokrasi di Thailand.

Penunjuk perasaan menuntut reformasi sistem monarki negara itu dan peletakan jawatan Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha, bekas ketua tentera yang mendalangi rampasan kuasa pada 2014.

Himpunan yang dipimpin pelajar itu, yang berlaku hampir setiap hari sejak beberapa bulan lalu, turut menggesa pindaan perlembagaan yang digubal tentera, serta menamatkan tindakan kerajaan yang didakwa mengganggu lawan politik mereka.

Selepas mahkamah mengarahkan tiga aktivis itu dibebaskan, polis mempertimbangkan untuk mengenakan waran tangkap terhadap mereka semalam.

Chiwarak mencabar polis untuk menangkapnya semula ketika berucap di hadapan kira-kira 300 penyokongnya di luar balai, yang turut menyanyikan beberapa lagu.

"Birai besi boleh memenjarakan bintang, tapi tidak cahayanya. Dalam hati, saya masih percayakan rakyat. Angin perubahan, angin demokrasi sudah tiba di Thailand.

"Kita akan menentang kegelapan dengan cahaya bintang. Kita akan melawan kejahatan dengan bunga. Dan kita akan melawan senjata dengan reben putih," katanya.

Sithijirawattanakul, yang rambut panjang kuningnya dipotong dan diwarnakan hitam ketika dalam penjara, diberi sejambak bunga oleh hadirin.

"Gerakan ini perlu diteruskan. Semua pihak perlu komited untuk tidak bertindak ganas. Jika keganasan berlaku, ia bukan daripada kami. Walaupun semakin kecewa, jangan kita jatuh ke dalam perangkap mereka," kata aktivis wanita itu.

Antara reformasi monarki yang dituntut termasuklah memansuhkan undang-undang 'drakonian lese majeste' (derhaka) yang melindungi keluarga diraja daripada fitnah, ketelusan kewangan istana dan menggesa Raja Maha Vajiralongkorn tidak mencampuri urusan politik. - AFP

Berita Harian X