Rabu, 28 Oktober 2020 | 8:13am
Penduduk berteduh di sebuah sekolah yang dijadikan pusat perlindungan di wilayah Quang Nam, tengah Vietnam, sebelum taufan Molave melanda. - Foto AFP
Penduduk berteduh di sebuah sekolah yang dijadikan pusat perlindungan di wilayah Quang Nam, tengah Vietnam, sebelum taufan Molave melanda. - Foto AFP

Vietnam pindah 500,000 penduduk sebelum taufan Molave melanda

QUANG NAM: Vietnam yang kini dilanda banjir, mula memindahkan lebih setengah juta penduduknya dari wilayah pesisir tengah yang berdepan taufan Molave, ribut keempat di dalam tempoh beberapa minggu di negara itu.

Sekolah dan pantai ditutup, malah beberapa penerbangan juga dibatalkan menjelang ketibaan taufan berkenaan.

Ia dijangka melanda Danang sekitar jam 1 tengah hari (0600 GMT) hari ini, dengan kelajuan angin 140 kilometer sejam (km/j), menurut Pusat Kaji Cuaca Hong Kong.

Hujan lebat dijangka berterusan di wilayah itu, yang kini dilanda banjir teruk dan tanah runtuh sejak awal Oktober, menyebabkan 130 individu maut.

Sekitar 178,000 rumah sudah ditenggelami air, kata Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Persatuan Bulan Sabit Merah.

Ketika beberapa rumah masih dibanjiri air, penduduk terpaksa bersedia untuk berdepan Molave pula, yang sudah meragut sekurang-kurangnya tiga nyawa di Filipina.

Lebih 500,009 penduduk akan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara, kata Jabatan Pengurusan Bencana Vietnam.

Timbalan Ketua Pusat Kaji Cuaca Kebangsaan Vietnam, Hoang Phuc Lam, berkata Molave dijangka menjadi ribut terburuk yang memiliki angin paling kuat dalam tempoh 20 tahun, menurut laporan media tempatan.

Vietnam terdedah pada bencana alam pada musim hujan antara Jun dan November, dengan wilayah pesisir tengah antara yang selalu terkesan teruk dengan kejadian itu. - AFP

Berita Harian X