Khamis, 22 Oktober 2020 | 2:00pm
Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga, pada sidang media di Jakarta, semalam. - FOTO AFP
Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga, pada sidang media di Jakarta, semalam. - FOTO AFP

Jepun beri amaran kepada China

JAKARTA: Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga, semalam memberi amaran secara tegas kepada China supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan di Laut China Selatan.

"Kami menentang apa saja tindakan yang meningkatkan ketegangan di Laut China Selatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, di sini, sempena berakhir lawatan pertamanya ke luar negara sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada bulan lalu, lapor Jiji Press.

Dalam rangka lawatannya itu, beliau turut mengunjungi Vietnam.

"Saya telah memperbaharui tekad untuk terus mewujudkan wilayah Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka, sambil terus mengadakan sidang kemuncak diplomasi serta bekerjasama rapat dengan ASEAN," katanya.

Suga berkata, visi Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka tidak menyasarkan negara tertentu.

Justeru, beliau berkata, Jepun boleh bekerjasama dengan mana-mana negara yang mempunyai pandangan sama mengenai inisiatif itu.

"Kami sama sekali tidak mempunyai rancangan untuk mewujudkan Indo-Pasifik versi NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara)," katanya yang dilihat menyedari penentangan China terhadap inisiatif berkenaan.

Suga tiba di Jakarta dari Hanoi, semalam, selain bertemu dengan rakan sejawat dari Vietnam, Nguyen Xuan Phuc, Isnin lalu.

Kunjungan ke Indonesia melengkapkan lawatan empat hari beliau hingga semalam.

Lawatan empat hari ke dua negara Asia Tenggara adalah sebahagian daripada usaha Suga untuk mempromosikan visi bebas dan terbuka Jepun serta Indo-Pasifik. – BERNAMA

Berita Harian X