Jumaat, 16 Oktober 2020 | 7:44am
Walaupun darurat diisytiharkan, peserta tunjuk perasaan terus berhimpun bagi membantah tindakan kerajaan menangkap aktivis penyokong demokrasi menerusi pengisytiharan darurat. - Foto EPA
Walaupun darurat diisytiharkan, peserta tunjuk perasaan terus berhimpun bagi membantah tindakan kerajaan menangkap aktivis penyokong demokrasi menerusi pengisytiharan darurat. - Foto EPA

10,000 peserta demonstrasi 'langgar' Thailand

BANGKOK: Kira-kira 10,000 peserta tunjuk perasaan berhimpun semalam bagi membantah tindakan kerajaan menangkap aktivis penyokong demokrasi menerusi pengisytiharan darurat.

Ketua aktivis, Panupong Mike Jadnok, berkata semangat mereka untuk menuntut keadilan tidak akan terbantut, meskipun kerajaan terus melakukan pelbagai penindasan terhadap peserta tunjuk perasaan.

"Anda tolak kami ke sudut macam kami ini anjing. Walaupun dihimpit sedemikian rupa, kami akan 'gigit' balik kerana tiada apa yang kami nak khuatirkan," katanya di hadapan ribuan peserta perhimpunan.

Menjelang tengah malam, peserta perhimpunan dilihat menghidupkan lampu suluh pada telefon bimbit masing-masing dan melambaikan peranti itu di udara.

Walaupun darurat diisytiharkan semalam, pelajar seawal belasan tahun terus mengemukakan bantahan dengan memuat naik kenyataan di media sosial, tanpa mendedahkan identiti mereka.

Peserta perhimpunan yang hanya ingin dikenali sebagai Katherine, 13, berkata ia adalah pengalaman kali pertama menyertai perhimpunan sedemikian.

"Saya nak demokrasi untuk negara saya. Saya ingin menjadi sebahagian daripada perubahan besar ini," katanya.

Menerusi perangkaan semasa, jurucakap Timbalan Polis Bangkok, Kolonel Kissana Phathanacharoen, menjangkakan seramai 10,000 orang menyertai perhimpunan berkenaan, namun mereka mula bersurai pada jam 10 malam (waktu tempatan).

"Mereka yang menyertai perhimpunan hari ini melakukan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang. Pihak berkuasa akan membuat langkah susulan dan terpulang siapa yang akan dipanggil untuk diambil tindakan perundangan," katanya.

Tiga aktivis ternama adalah antara 24 yang ditahan, semalam, termasuk Parit "Penguin" Chiwarak dan Panusaya "Rung" Sithijirawattanakul.Peneraju aktivis, Anon Numpa, berkata dia ditahan dan dibawa menaiki helikopter untuk ke Chiang Mai, di utara Thailand tanpa peguamnya.

"Ini bercanggah dengan hak saya dan sangat berbahaya," katanya menerusi kenyataan di Facebook. - AFP

Berita Harian X