Isnin, 5 Oktober 2020 | 8:05pm
Krisadang Nutcharut berada diatas padang dimana pembunuhan beramai-ramai lebih 40 tahun lalu. - Foto AFP
Krisadang Nutcharut berada diatas padang dimana pembunuhan beramai-ramai lebih 40 tahun lalu. - Foto AFP

'Memori pembunuhan beramai-ramai di universiti muncul semula'

BANGKOK: Tembakan senjata tanpa henti, tubuh yang tergantung, kegilaan gerombolan manusia, adalah keganasan ngeri yang disaksikan Krisadang Nutcharut di Universiti Thammasat lebih 40 tahun lalu mendorongnya menceburkan diri dalam karier undang-undang, dan kini digunakan untuk mempertahankan aktivis pro-demokrasi muda Thailand.

Seperti mereka yang lain yang turut terselamat, beliau menyifatkan 6 Oktober 1976 sebagai salah satu hari hitam dalam sejarah negaranya, apabila pasukan keselamatan dan militia diraja membunuh puluhan anak muda di tengah-tengah Bangkok.

"Ia adalah pertarungan yang tidak saksama, ia adalah pembunuhan beramai-ramai. Pelajar itu tidak melawan semula, mereka tidak mempunyai senjata," kata Krisadang kepada AFP.

"Ia adalah pengajaran yang saya tidak akan lupa."

Hari ini, individu 62 tahun itu mewakili dua wajah terkenal bagi gerakan baharu diketuai anak muda menentang pemerintahan kerajaan yang berpihak kepada tentera, iaitu peguam hak asasi manusia, Anon Numpa dan aktivis, Panupong Jadnok.

Kedua-dua mereka berdepan tuduhan menghasut selepas menuntut reformasi terhadap monarki berkuasa kerajaan dalam satu demonstrasi besar-besaran.

Perhimpunan terbaharu membabitkan 30,000 penunjuk perasaan, perhimpunan awam terbesar yang berlaku di Thailand dalam tempoh bertahun-tahun.

Momentum yang semakin meningkat dalam protes itu, yang setakat ini aman, bagaimanapun membangkitkan memori yang menghantui itu dalam fikiran Kundasang.

"Saya perlu mengajar generasi muda supaya tidak memandang rendah terhadap tentera kerana mereka tiada belas kasihan," katanya.

Kerajaan negara itu sudah sekian lama menyaksikan kitaran keganasan politik dan kerajaan awam jangka pendek yang dijatuhkan oleh rampasan tentera.

Bagaimanapun, pembunuhan beramai-ramai di Thammasat itu amat diingati kerana keganasannya terhadap pelajar, yang melakukan protes selama berminggu-minggu menentang kepulangan diktator yang digulingkan ke negara ini daripada buangan.

Pasukan keselamatan dan diraja menembak, memukul dan menikam pelajar di sekitar kampus, manakala yang lain digantung di pokok.

Seramai 46 penunjuk perasaan secara rasmi terbunuh, walaupun mereka yang terselamat percaya jumlah sebenar melebihi 100 orang.

Tiada pihak yang secara rasmi bertanggungjawab terhadap peristiwa berdarah itu. - AFP

Berita Harian X