Sabtu, 3 Oktober 2020 | 12:51pm
Bekas Perdana Menteri Thailand dalam pelarian, Thaksin Shinawatra. - Foto Google
Bekas Perdana Menteri Thailand dalam pelarian, Thaksin Shinawatra. - Foto Google

Thaksin positif COVID-19

BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand dalam pelarian, Thaksin Shinawatra memberitahu bahawa dia dimasukkan ke hospital kira-kira dua minggu kerana dijangkiti COVID-19.

Berita mengenai keadaan Thaksin mula tersebar beberapa jam selepas berita mengenai Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan isterinya, Melania diuji positif COVID-19.

Thanksin, jutawan berusia 71 tahun yang kediaman utamanya terletak di Dubai, Emeriah Arab Bersatu (UAE), mendapati beliau dijangkiti virus itu hujung Ogos lalu, menurut agensi berita CNA.

Menurut jurucakap tidak rasmi bagi keluarga Shinawatra pada Jumaat, Thaksin diuji COVID-19 ketika menguji diri sendiri dengan alat berteknologi tinggi yang dibangunkan oleh sebuah syarikat pelaburannya.

Beliau didapati mengalami gejala ringan seperti bersin dan demam tetapi membuat pemeriksaan kesihatan sebagai persiapan untuk melakukan perjalanan, kata jurucakap, Wim Rungwattanachinda.

Menurut jurucakap itu lagi, Thaksin kembali positif COVID-19 ketika pergi ke hospital di Dubai, di mana beliau mendapatkan rawatan sebelum berpindah ke hospital lain di Abu Dhabi untuk tempoh seminggu lagi.

Menurut Thaksin, adik-beradiknya iaitu Yingluck dan Yaowapa menjalani kuarantin setelah beliau dijangkiti, namun mereka berdua diuji negatif virus berkenaan.

Beliau mengesyaki dijangkiti COVID-19 kerana lupa mencuci tangan ketika pergi ke medan selera meskipun kebiasaannya mengenakan pelitup muka di kawasan awam.

Thaksin adalah pengasas sebuah parti politik selepas bergelar jutawan dalam sektor telekomunikasi dan seterusnya menjadi Perdana Menteri selepas memenangi pilihan raya pada 2001. Beliau dipilih kembali pada 2005, tetapi digulingkan dalam rampas kuasa oleh tentera pada 2006.

Ketika itu, beliau berdepan beberapa tuduhan politik yang ada kaitan dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Thaksin mendakwa kes yang terpalit dengannya adalah penganiayaan politik dan bertindak melarikan diri dari Thailand selepas diikat jaminan setelah disabit satu kesalahan yang mengheretnya dihukum penjara tiga tahun.

Ramai penyokong Thaksin terus berjuang di pihaknya sama ada di tempat mengundi dan jalanan. Wujud spekulasi pada bulan ini, Thaksin akan membuat tawaran baharu untuk membuat kemunculan semula dalam kancah politik mungkin dengan menggunakan ahli keluarganya.

Pasport Thailand Thaksin dibatalkan oleh kerajaan tetapi beliau memiliki sekurang-kurangnya satu dari negara lain yang diberikan secara sah sebagai pertukaran untuk membuat pelaburan.

Pelaburannya di sebuah syarikat yang berpangkalan di United Kingdom (UK) membangunkan ujian COVID-19 pantas, tanpa melalui makmal adalah satu daripada cabang perniagaan Thaksin. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X