Sabtu, 19 September 2020 | 10:09am
Gambar fail menunjukkan kumpulan penunjuk perasaan membabitkan pelajar sekolah di Institut Teknologi Raja Mongkut di Bangkok, Thailand. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan kumpulan penunjuk perasaan membabitkan pelajar sekolah di Institut Teknologi Raja Mongkut di Bangkok, Thailand. - Foto AFP

Penunjuk perasaan Thailand siap sedia turun ke jalan raya

BANGKOK: Gerakan pro-demokrasi pimpinan anak muda Thailand bersiap sedia untuk turun ke jalanan di ibu negara hari ini, yang dijangka disertai puluhan ribu orang.

Ini adalah demonstrasi terbaru dan antara yang terbesar bagi mendesak Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha, meletak jawatan dan menuntut reformasi monarki.

Tunjuk perasaan oleh golongan muda berlaku hampir setiap hari di Thailand sejak pertengahan Julai lalu bagi mendesak pengunduran Prayut, bekas ketua tentera yang mendalangi rampasan kuasa pada 2014, serta rombakan menyeluruh pentadbirannya.

Sesetengah kumpulan turut mendesak reformasi terhadap monarki yang sangat kaya lagi berkuasa, sesuatu yang jarang disentuh di Thailand berikutan undang-undang fitnah diraja yang tegas dan keterlaluan.

Gerakan yang semakin berkembang di Thailand itu mendapat inspirasi daripada protes pro-demokrasi di Hong Kong, yang tidak dipimpin individu tertentu secara khusus.

Tunjuk perasaan hujung minggu ini anjuran pelajar Universiti Thammasat di Bangkok, antara kumpulan paling lantang mempertikaikan peranan keluarga diraja di Thailand.

Seorang aktivis pelajar, Panusaya Sithijirawattanakul, berkata mereka mahu memperjuangkan lebih banyak kebebasan demokrasi.

"Perancangan kami bukanlah untuk memusnahkan monarki tapi melakukan rombakan supaya sesuai dengan masyarakat sekarang," katanya ketika melakukan persediaan menjelang tunjuk perasaan itu.

Tunjuk perasaan dijangka bermula di Universiti Thammasat tengah hari ini, sebelum bergerak ke padang bersejarah Sanam Luang di hadapan istana diraja, di mana peserta merancang untuk berada di sana semalaman.

Esok, penunjuk perasaan dijangka bergerak ke pejabat kerajaan, walaupun pihak berkuasa memberi amaran jangan melakukannya.

Kehadiran peserta tunjuk perasaan kali ini dijangka yang terbesar sejak rampasan kuasa pada 2014, dengan aktivis pelajar berharap sokongan lebih 50,000 orang manakala polis memaklumkan, kira-kira 10,000 anggota akan dikerahkan.

Setakat ini, pihak berkuasa sudah menahan lebih 24 penunjuk perasaan dan aktivis, atas dakwaan mereka menghasut, sebelum melepaskan mereka dengan jaminan.

Penganalisis menyifatkan tunjuk perasaan hari ini akan menjadi ujian terhadap gerakan pro-demokrasi di Thailand yang mendapat momentum dalam talian hasil penggunaan media sosial oleh pelajar. - AFP

Berita Harian X