Rabu, 9 September 2020 | 11:32pm
Mural sebagai menghargai petugas kesihatan di Jakarta. - Foto AP
Mural sebagai menghargai petugas kesihatan di Jakarta. - Foto AP

COVID-19: Indonesia tahan 3 individu tipu babit AS$4.2 juta

JAKARTA: Polis Indonesia menahan tiga anggota sindiket jenayah siber antarabangsa berhubung penipuan AS$4.2 juta (RM17.5 juta) membabitkan sebuah syarikat Itali berkaitan pembekalan peralatan perubatan, termasuk ventilator untuk pesakit COVID-19.

Penahanan itu dibuat selepas polis mengesan sindiket itu memintas e-mel antara syarikat penyedia perkhidmatan kesihatan Itali, Althea Italia S.p.a, dan sebuah syarikat China, Shenzhen Mindray Bio-Medical Electronics.

Pembelian peralatan perubatan itu adalah sebahagian daripada perjanjian antara kedua-dua syarikat yang ditandatangani pada akhir Mac tahun ini ketika wabak COVID-19 memuncak di Itali.

Namun, menurut polis, pada 6 Mei, ketiga-tiga suspek menghantar e-mel kepada Althea Italy dan menyamar sebagai pengurus Eropah syarikat China itu, memaklumkan kepada syarikat Itali mengenai perubahan butiran akaun bank untuk pemindahan bayaran pembelian ventilator dan monitor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Kom Jeneral, Listyo Sigit Prabowo memberitahu pada sidang media Isnin lalu, mereka yang ditahan berasal dari wilayah Sumatera Utara, Jawa Barat dan Banten, tetapi enggan memberi butiran lanjut mengenainya.

Polis mendedahkan suspek mengarahkan Althea untuk memindahkan wang itu ke akaun syarikat palsu bernama CV Shenzhen Mindray Bio Medical Electronics Co. Ltd, di Bank Syariah Mandiri, anak syarikat pemberi pinjaman Indonesia, Bank Mandiri.

Althea mengemukakan aduan kepada Interpol di Rom setelah gagal menerima peralatan perubatan seperti dijanjikan.

Prabowo mengatakan bahawa setelah diberitahu mengenai penipuan itu, polis bekerjasama dengan Pusat Analisis dan Analisis Transaksi Kewangan Indonesia untuk mengesan ketiga-tiga transaksi itu ke akaun Bank Syariah Mandiri.

"Ketiga-tiga suspek merancang dan melaksanakan sendiket itu dengan menubuhkan syarikat rekaan dan membuka akaun Bank Syariah Mandiri yang digunakan untuk menipu mangsa. Polis merampas 56.8 bilion rupiah atau AS$3.8 juta (RM15.84 juta) dari pelakunya," kata Prabowo.

"Bagaimanapun, dalang utama jenayah itu, yang didakwa sebagai warga Nigeria, masih gagal dikesan," katanya.

Selain wang, turut dirampas, kenderaan SUV, motosikal, dan dokumen yang berkaitan dengan tanah dan hartanah yang dibeli suspek menggunakan wang yang dicuri itu yang dipamerkan pada sidang media berkenaan.

Permintaan ke atas peralatan seperti ventilator meningkat berikutan pertambahan kes COVID-19 di seluruh dunia.

Laporan Global Market Ventilators 2020, yang dikeluarkan oleh Laporan Kajian Pasaran pada April tahun ini, meramalkan pasaran global untuk peranti itu akan meningkat dari AS$4.68 bilion (RM20 bilion) pada 2019 kepada AS$12.1 bilion (RM50.43 bilion) tahun ini.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Indonesia mengeluarkan lesen pengeluaran untuk lima prototaip ventilator yang dibangunkan universiti dan agensi penyelidikan Indonesia pada pertengahan Ogos tahun ini.

"Indonesia memiliki 8,413 ventilator di 2,867 hospital di seluruh negara," kata Menteri Kesihatan, Terawan Agus Putranto pada sidang di Dewan Perwakilan pada 2 April lalu.

Dalam masa yang sama, industri tempatan sedang melakukan penyelidikan untuk menghasilkan ventilator buatan tempatan bagi memenuhi permintaan.

"Sehingga semalam, sebanyak 200,035 kes positif dicatatkan di negara itu dengan 8,230 kematian dan 142,958 orang pulih," menurut data dari pasukan respons COVID-19 pemerintah. - AGENSI

Berita Harian X