Khamis, 27 Ogos 2020 | 11:59am

Bekas perunding damai pejuang Pattani meninggal dunia di Malaysia

PATTANI: Seorang individu utama Pulo-DSPP, satu daripada lima organisasi dalam kumpulan pejuang Mara Patani, yang memainkan peranan utama dalam rundingan damai dengan kerajaan, meninggal dunia di hospital di Malaysia.

Presiden Pulo-MKP, iaitu satu lagi kumpulan Mara Patani, Gusturi Mahkota, menerusi Facebook memaklumkan Muhammad Ibrahim Abdul Majid meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Selasa lalu.

Jurucakap Rejimen Keempat Tentera Thailand, Mejar Jeneral Pramote Prom-in semalam mengesahkan kematian Muhammad Ibrahim, 61, akibat hepatitis B, namun tiada perincian lanjut dimaklumkan.

Namun, sumber di selatan negara itu memaklumkan, Muhammad Ibrahim sebenarnya meninggal dunia disebabkan penyakit paru-paru yang tidak dinyatakan.

Muhammad Ibrahim memainkan peranan penting dalam rundingan damai awal ketika Jeneral Aksara Kerdpol mengetuai pasukan rundingan kerajaan, kata Pramote, yang memaklumkan lelaki itu tidak lagi terbabit dalam rundingan itu selepas kedua-dua pihak menukar pasukan rundingan masing-masing.

Antara peranan dimainkan Muhammad Ibrahim adalah memastikan program zon keselamatan di lima daerah, iaitu satu di Pattani dan masing-masing dua di Yala dan Narathiwat, kata sumber.

Tidak lama selepas inisiatif zon keselamatan dilaksanakan di bawah perjanjian yang dicapai oleh Kumpulan Kerja Bersama-Proses Rundingan Damai bagi Selatan Thailand (JWG-PDP), Muhammad Ibrahim jatuh sakit, kata sumber.

Muhammad Ibrahim yang menerima latihan dalam program pertahanan dari Libya dan menguasai beberapa bahasa, diiktiraf kerana cuba membantu bukan saja anggota pemberontak Pulo, tapi juga semua rakyat Thailand yang tinggal di Malaysia. - AGENSI

Berita Harian X