Isnin, 24 Ogos 2020 | 5:40pm
Lokasi Terumbu Scarborough yang dipertikaikan sejak sekian lama oleh Filipina dan China. Foto aljazeera.com
Lokasi Terumbu Scarborough yang dipertikaikan sejak sekian lama oleh Filipina dan China. Foto aljazeera.com

Menteri Filipina dakwa China reka tuntutan Laut China Selatan

MANILA: Sembilan Garis Putus yang digunakan China untuk menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan adalah satu rekaan, kata Menteri Pertahanan Filipina, yang mendakwa Beijing menduduki kawasan maritim Filipina secara haram.

Dakwaan yang dibuat semalam itu ketika pertikaian terbaharu antara Manila dan Beijing membabitkan Terumbu Scarborough yang dipertikaikan sejak sekian lama oleh kedua-dua negara.

Minggu lalu, Kementerian Luar Filipina mengusulkan protes diplomatik berhubung apa yang didakwa sebagai rampasan secara salah peralatan menangkap ikan oleh kapal peronda China berhampiran terumbu itu.

China merampas Scarborough daripada Filipina pada 2012 susulan pertikaian yang hangat.

Terumbu itu yang juga antara lokasi penangkapan ikan paling strategik di wilayah itu, terletak 240 kilometer (km) di barat Pulau Luzon, Filipina, dan 650km dari Hainan, China.

"Kawasan itu berada dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) kami. Kononnya mereka (China) ada hak sejarah berdasarkan Sembilan Garis Putus adalah tidak wujud, melainkan dalam imaginasi mereka.

"Nelayan kami berada dalam EEZ kami dan kapal serta pesawat kami mengadakan rondaan dalam kawasan kami.

"Mereka sebenarnya yang membuat provokasi dengan menduduki beberapa lokasi dalam EEZ kami secara haram. Mereka tiada hak untuk menegakkan undang-undang mereka di situ," kata Setiausaha Pertahanan, Delfin Lorenzana menerusi satu mesej.

Beijing menuntut majoriti kawasan laut itu, dengan menggunakan Sembilan Garis Putus untuk mengesahkan dakwaan hak sejarah mereka di kawasan laut itu, yang turut dituntut Filipina, Malaysia, Vietnam, Taiwan dan Brunei.

China turut menolak keputusan tribunal yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2016, yang didakwa mereka diadakan tanpa asas perundangan. - AFP

Berita Harian X