X
Ahad, 16 Ogos 2020 | 4:53pm
Sebahagian daripada lebih 10,000 penunjuk perasaan yang berkumpul di Monumen Demokrasi di Bangkok, Thailand. - Foto AFP
Sebahagian daripada lebih 10,000 penunjuk perasaan yang berkumpul di Monumen Demokrasi di Bangkok, Thailand. - Foto AFP

Ketegangan protes pro-demokrasi memuncak di Thailand

BANGKOK: Lebih 10,000 penunjuk perasaan sudah berhimpun di Bangkok, bagi mengecam kerajaan susulan ketegangan yang memuncak di negara itu selepas penahanan tiga pemimpin aktivis gerakan pro-demokrasi.

Polis menyifatkan perhimpunan di Monumen Demokrasi itu, yang semakin mendapat sokongan golongan muda, sebagai antara yang terbesar sejak beberapa tahun lalu dan menutup semua jalan utama di sekitarnya.

Hampir setiap hari kumpulan pimpinan pelajar berdemonstrasi mengecam Perdana Menteri, Prayut Chan-o-Cha, yang mengetuai rampasan kuasa pada 2014 dan pentadbirannya sejak bulan lalu.

Pemimpin pelajar terkemuka, Parit Chiwarak, yang diikat jamin sehari selepas penahanannya kelmarin, mengesahkan kehadirannya bagi menyertai tunjuk perasaan di Monumen Demokrasi, di Bangkok esok.

"Kami tak akan mengecewakan anda," katanya kepada sekumpulan penyokong di luar balai polis sejurus dibebaskan.

Sehari sebelum penahanan Parit, Prayut berkata desakan penunjuk perasaan 'tidak boleh diterima' dalam kalangan majoriti negara itu, selain menyifatkannya sebagai 'berisiko'.

Bagaimanapun, beliau bernada lebih bertolak ansur dalam ucapan yang disiarkan di televisyen apabila memohon perpaduan diutamakan dan menegaskan bahawa masa depan adalah milik golongan muda.

Penganjur menyasarkan kehadiran ribuan orang dan ratusan anggota polis dilihat sudah sedia mengawal kawasan berkenaan sebelum tunjuk perasaan terbabit berlangsung.

Penunjuk perasaan yang sebahagiannya mendapat inspirasi daripada gerakan pro-demokrasi di Hong Kong, mengakui tidak mempunyai ketua dan bergantung kepada kempen di media sosial untuk mendapatkan sokongan orang ramai.

Tanda pagar 'berikan tarikh akhir bagi diktator' dan 'tag rakan anda untuk membantah' kini mulai masyhur (trending) di Twitter di Thailand.

Penunjuk perasaan mendesak perubahan kerajaan dan perlembagaan bertulis tentera 2017 dipinda kerana didakwa diperalatkan untuk menjamin kemenangan parti yang bersekutu dengan tentera.

Tunjuk perasaan minggu lalu yang disertai hampir 4,000 orang turut mendesak menghapuskan undang-undang melindungi monarki Thailand yang mengekang usaha bagi membolehkan peranan institusi diraja Thailand dibincangkan.

Raja Maha Vajiralongkorn sebagai ketua kerajaan dengan kerajaan yang disokong tentera dan golongan elit usahawan di negara itu semakin tidak disenangi masyarakat umum terutama golongan muda.

Antara lain, mereka mendesak pindaan Akta 112 yang dianggap kejam kerana memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun bagi setiap sabitan kesalahan berkaitan institusi diraja Thailand.

Pada masa sama, hampir 50 penunjuk perasaan menyokong institusi diraja turut merancang berkumpul di Monumen Demokrasi esok, lokasi sama penunjuk perasaan pro-demokrasi akan diadakan. - AFP

Berita Harian X