Jumaat, 24 Julai 2020 | 5:57pm
Gambar fail menunjukkan pihak berkuasa Vietnam menunjukkan kulit dan tulang harimau yang dirampas daripada penyeludup. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan pihak berkuasa Vietnam menunjukkan kulit dan tulang harimau yang dirampas daripada penyeludup. - Foto AFP

Vietnam larang dagangan hidupan liar bagi bendung pandemik

HANOI: Presiden Vietnam, Nguyen Xuan Phuc, mengeluarkan arahan larangan serta merta perdagangan hidupan liar bagi mencegah risiko COVID-19 dan membendung sebarang pandemik lain.

Arahan larangan itu membabitkan import haiwan liar hidup, produk hidupan liar, pengharaman pasar hidupan liar dan menguatkuasa larangan pemburuan serta penjualan secara haram termasuk dalam talian.

Vietnam ketika ini menjadi hab penting di benua Asia bagi penjualan produk hidupan liar terutama sisik tenggiling, gading gajah, sumbu badak, yang dipercayai mempunyai nilai perubatan oleh sektor rawatan tradisional.

Larangan itu mendapat sambutan hebat daripada pertubuhan perlindungan alam sekitar, namun ada pihak yang sangsi usaha itu dapat bertahan lama.

Aktivis Save Vietnam Wildlife, Nguyen Van Thai, berkata larangan pengambilan hidupan liar dalam arahan itu tidak mencukupi kerana tidak meliputi penggunaan haiwan untuk tujuan ubat atau disimpan sebagai haiwan peliharaan.

"Adalah penting untuk menyenaraikan penggunaan haiwan liar yang dilarang dengan terperinci lagi jelas supaya undang-undang ini tidak disalah guna," katanya.

Februari lalu, 14 pertubuhan perlindungan alam sekitar menghantar memorandum bersama kepada kerajaan untuk mengenal pasti dan menutup pasar serta lokasi yang menjadi premis dagangan hidupan liar.

Asia Tenggara ketika ini dilaporkan mempunyai banyak pasar hidupan liar dan penjualan secara dalam talian juga melonjak apabila undang-undang sedia ada gagal tidak dikuatkuasa sepenuhnya.

Saintis percaya virus termasuk COVID-19, yang menjangkiti manusia itu berpunca dari haiwan.

Malah, dalam kes COVID-19, jangkitan terawal ditemui pada orang yang terdedah kepada pasar hidupan liar di Wuhan, wilayah Hubei di China, di mana kelawar, ular, musang dan lain-lain hidupan liar dijual secara terbuka. - AGENSI

Berita Harian X