Selasa, 21 Julai 2020 | 10:07pm
Penunjuk perasaan berkumpul di depan ibu pejabat tentera ketika demonstrasi di Bangkok. Foto AFP
Penunjuk perasaan berkumpul di depan ibu pejabat tentera ketika demonstrasi di Bangkok. Foto AFP

PM Thailand bimbang pertambahan tunjuk perasaan

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand 'khuatir' mengenai peningkatan pergerakan pelajar mendesak pembubaran kerajaan dengan penunjuk perasaan pro-demokrasi merancang demonstrasi perbezaan pendapat yang kreatif di seluruh negara.

Komen itu dibuat beberapa hari selepas ribuan belia berpakaian hitam melakukan tunjuk perasaan di Monumen Demokrasi Bangkok, salah satu tunjuk perasaan terbesar dalam tempoh beberapa tahun sambil melaungkan perkataan menyakitkan hati terhadap pertubuhan pro-tentera.

Kumpulan pelajar itu mempamerkan tindakan tersusun yang diilhamkan daripada tunjuk perasaan pro-demokrasi di Hong Kong dengan puluhan demonstrasi dirancang di seluruh negara, termasuk di universiti dan bandar utama, minggu depan.

Perdana Menteri, Prayuth Chan-O-Cha, hari ini mempertahankan pendirian untuk meneruskan undang-undang darurat di Thailand, menafikan larangan itu digunakan bagi mengekang kebebasan seperti dakwaan pengkritik.

"Undang-undang ini tidak digunakan untuk menentang petunjuk perasaan ... tetapi saya khuatir dengan gerakan mereka akan menyebabkan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan," katanya.

"Saya memahami golongan belia tetapi pada masa sama saya juga bimbangkan ibu bapa mereka," katanya.

Pergolakan politik Thailand sudah berlarutan sekian lama dengan tunjuk perasaan dan kudeta yang akan diambil alih pasukan tentera setiap kali penentang memberontak.

Bagaimanapun, pandemik COVID-19 menyebabkan ekonomi negara itu merudum dan kemarahan memuncak terhadap pentadbiran Prayuth. - AFP

Berita Harian X