Khamis, 9 Julai 2020 | 6:14pm

Singapura kaji kesan jangka panjang jangkitan COVID-19

SINGAPURA: Lebih 500 pesakit COVID-19 yang sudah pulih dijadikan subjek kajian untuk melihat kesan jangka panjang jangkitan virus itu kepada manusia.

Penyelidikan berkenaan, yang akan diteruskan selama dua tahun, diselia oleh Pusat Penyakit Berjangkit Nasional (NCID).

Pelbagai kajian yang dilakukan di seluruh dunia mendapati serangan virus itu boleh mengganggu hampir semua organ, termasuk buah pinggang, hati, jantung dan otak.

Ada pesakit yang meninggal dunia bukan hanya kerana kegagalan paru-paru, tetapi turut mengalami komplikasi buah pinggang, darah beku, masalah hati dan beberapa isu neurologi.

Di Singapura misalnya, seorang pesakit COVID-19 berusia 41 tahun meninggal dunia akibat 'pulmonary thromboembolism', iaitu masalah darah beku di bahagian paru-paru, lebih dua minggu selepas dibenarkan keluar hospital.

Sebilangan besar pesakit di republik itu bagaimanapun tidak mengalami komplikasi jangka panjang seperti di luar negara, kerana ramai antara mereka masih muda dan tidak mengalami jangkitan serius.

Perunding Kanan merangkap Pengarah Pejabat Latihan Penyelidikan Penyakit Berjangkit di NCID, Prof Bersekutu David Lye, mengakui beberapa pesakit mengalami komplikasi paru-paru berpanjangan dan dirujuk kepada pakar untuk rawatan lanjut.

Jumlah kematian akibat COVID-19 di Singapura adalah antara yang terendah di dunia dengan 45,298 jangkitan termasuk 26 kematian.

Pandangan David turut disokong Ketua merangkap Perunding Kanan Bahagian Penyakit Berjangkit Hospital National University, Prof Bersekutu Sophia Archuleta, yang berkata proses pemulihan pesakit COVID-19 boleh diramalkan.

"Mereka tidak mungkin mengalami komplikasi dalam tempoh setahun lagi sekiranya ia tidak dikesan semasa mereka dirawat bagi jangkitan virus itu.

"Namun, doktor mahu mengkaji sekiranya wujud kaitan antara COVID-19 dan masalah jantung bengkak berikutan virus itu pada awalnya menyerang salur udara dan paru-paru, yang boleh memberi kesan kepada jantung," katanya.

Pakar Perunding Kanan merangkap Pengarah Pusat Jantung National University di Singapura, Prof Tan Huay Cheem, menjelaskan bahawa troponin, sejenis biopenanda darah bagi jantung, ditemui pada sekitar 30 peratus pesakit COVID-19.

"Ini menunjukkan kemungkinan kecederaan pada jantung kerana bengkak atau myocarditis, di mana jantung pesakit yang mengalaminya mungkin kekal bengkak atau menjadi lemah akibat masalah sistem imuniti badan," katanya. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X