Isnin, 22 Jun 2020 | 10:02pm
GUNUNG Kanlaon.
GUNUNG Kanlaon.

Gunung Kanlaon mungkin meletus, dipantau rapi sejak semalam

MANILA : Institut Volkanologi dan Seismologi Filipina (PHIVOLCS) memantau rapi Gunung Kanlaon, sebuah gunung berapi aktif di wilayah Negros Occidental di tengah Filipina, selepas merekodkan lebih 130 gegaran kecil sejak semalam.

Institut itu mengeluarkan kenyataan mengingatkan orang ramai bahawa Gunung Kanlaon berada pada tahap amaran 1, bermaksud keadaannya tidak normal dan mungkin meletus pada bila-bila masa.

Kerajaan tempatan dan awam mengingatkan orang ramai berhubung larangan memasuki zon bahaya, iaitu radius empat kilometer (km), susulan kemungkinan berlakunya letupan.

Menurut PHIVOLCS, mereka merekodkan 136 gegaran gempa bumi tektonik sepanjang tempoh pemantauan selama 24 jam.

Katanya, empat daripada gempa itu, yang direkodkan antara jam 1 pagi hingga 2.06 pagi, dirasai di La Carlota City dan Bago City di wilayah Negros Occidental serta Canlaon City di wilayah Negros Oriental.

"Aktiviti itu mencakupi letusan wap putih yang menjulang setinggi 200 meter sebelum bergerak ke bahagian barat daya.

"Gunung berkenaan turut mengeluarkan sulfur dioksida pada 13 Jun lalu, menyebabkan lereng bawah gunung sedikit rendah sejak Januari 2020," kata institut itu lagi.

Gunung Kanlaon, dengan ketinggian 2,465 meter di atas paras laut, adalah puncak tertinggi di Kepulauan Negros dan juga di seluruh rantau Visayas. - AGENSI

Berita Harian X