Isnin, 2 March 2020 | 1:38pm
Barisan Revolusi Nasional (BRN).
Barisan Revolusi Nasional (BRN).

Rundingan damai selatan Thailand diteruskan minggu ini

PATTANI: Rundingan damai selatan Thailand yang dijadualkan minggu ini di Kuala Lumpur akan diteruskan, meskipun Malaysia dalam pembentukan kerajaan baharu.

Sumber Barisan Revolusi Nasional (BRN) memberitahu bahawa pertemuan kedua yang dijadual pada 4 Mac ini menyaksikan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Mohd Noor bertindak sebagai fasilitator akan diadakan antara wakil kerajaan Thailand – ketua perunding, Jeneral Wanlop Rugsanaoh dan kumpulan BRN.

“Kini, semua sudah berada di Kuala Lumpur dan membuat persiapan untuk rundingan kali ini,” kata sumber BRN ketika dihubungi.

Pada 20 Januari lalu, satu mesyuarat rasmi diadakan di antara BRN dan kerajaan Thailand, membawa harapan baharu untuk menamatkan keganasan di selatan Thailand. Delegasi BRN diketuai Anas Abdulrahman.

Kedua-dua pihak akhirnya mencapai kesepakatan bahawa rundingan ialah cara terbaik untuk menyelesaikan konflik bersenjata di wilayah majoriti Islam di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla di selatan Thailand.

Buat masa kini, rundingan itu membabitkan pasukannya dan BRN, manakala Malaysia bertindak sebagai fasilitator.

Sejak beberapa tahun lalu, proses perdamaian di wilayah selatan negara itu antara kerajaan Thailand dan Mara Patani, sebuah badan utama mewakili pelbagai kumpulan di wilayah selatan itu. Bagaimanapun, ketika itu, BRN hanya diwakili sayap politiknya.

Namun, selepas pelantikan Wanlop pada Oktober lalu, beliau memberi isyarat yang jelas mahu BRN mengambil bahagian dalam rundingan damai bagi mencari jalan terbaik menamatkan konflik di empat wilayah itu.

Difahamkan perjumpaan kali ini akan menyaksikan kedua-dua pihak mengemuka syor untuk keamanan jangka panjang di wilayah bergolak di selatan Thailand.

Sebelum ini, Wanlop memberitahu media bahawa pihaknya akan mendengar dengan hati terbuka syor yang bakal dikemukakan dengan hati terbuka dan membuat pertimbangan sewajarnya.

Sementara itu, Peace Survey edisi kelima mendapati hanya 38.7 peratus penduduk di wilayah bergolak itu membabitkan Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkhla setuju saluran terbaik yang boleh menyelesaikan konflik yang membelenggu empat wilayah bergolak berkenaan.

Keamanan dan kedamaian jangka masa panjang akan tercapai melalui rundingan damai dalam tempoh lima tahun akan datang, berdasarkan kajian terhadap 1,637 orang di empat wilayah bergolak itu.

Namun, 37.9 peratus berpendapat bahawa ‘tiada harapan’ dalam rundingan damai itu.

“Kajian itu juga mendapati 59.4 peratus responden berpandangan bahawa proses rundingan damai tidak dapat menamatkan keganasan, malah 57.1 peratus berpendapat keadaan akan semakin teruk ,” menurut kajian itu.

Pemberontakan di selatan Thailand bermula pada 2004 di empat wilayah iaitu Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkla, yang mengorbankan 7,000 nyawa. – BERNAMA

Berita Harian X