Ahad, 15 Disember 2019 | 7:38pm
Gempa kuat magnitud 6.8 merosakkan bangunan di Padada dalam wilayah Davao del Sur, Mindanao, Filipina. -Foto AFP
Gempa kuat magnitud 6.8 merosakkan bangunan di Padada dalam wilayah Davao del Sur, Mindanao, Filipina. -Foto AFP

Terkini, seorang kanak-kanak maut, gempa di selatan Filipina

MANILA: Satu gempa bumi kuat melanda pulau selatan Filipina di Mindanao hari ini, mengorbankan seorang kanak-kanak dan merosakkan bangunan di kawasan yang baharu pulih akibat siri bencana alam Oktober lalu.

Polis berkata, satu operasi menyelamat dilancarkan di bangunan pasar yang rosak teruk berhampiran pusat gempa magnitud 6.8, sejauh 90 kilometer dari bandar utama Davao.

Pesakit dikeluarkan dari hospital sebagai langkah berjaga-jaga manakala orang ramai yang bimbang berkumpul di luar pusat beli-belah selepas gegaran dan siri gempa susulan kuat.

“Kami tidak boleh menggunakan pejabat kerana dinding retak dan tangga runtuh. Bekalan elektrik dan air turut terputus,” kata jurucakap polis tempatan, Lea Orbuda kepada AFP.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya 24 orang dibawa ke hospital, dengan tambahan 13 lagi dilaporkan cedera di kawasan berhampiran.

Penduduk melihat bangunan rosak akibat gempa magnitud 6.8 di bandar Padada dalam wilayah Davao del Sur di pulau selatan Mindanao. -Foto AFP
Penduduk melihat bangunan rosak akibat gempa magnitud 6.8 di bandar Padada dalam wilayah Davao del Sur di pulau selatan Mindanao. -Foto AFP

Polis berkata, seorang kanak-kanak maut apabila dinding menghempapnya.

Presiden Filipina Rodrigo Duterte yang berasal dari Davao terbabit dalam gempa bumi namun tidak cedera, kata pihak berkuasa.

“Wanita Pertama berkata, kenderaan dinaikinya terhuyung-hayang. Mereka bagaimanapun tidak cedera,” kata jurucakap Salvador Panelo. -AFP

Berita Harian X