Isnin, 18 November 2019 | 7:27am
Gambar fail menunjukkan Duterte dalam sidang media bersama rakan sejawatannya dari India di Istana Malacanang, Manila 18 Oktober lalu. -Foto AFP
Gambar fail menunjukkan Duterte dalam sidang media bersama rakan sejawatannya dari India di Istana Malacanang, Manila 18 Oktober lalu. -Foto AFP

Duterte akui hadapi masalah kesihatan

MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengakui dirinya bergelut dengan masalah kesihatan, ketika spekulasi tersebar mengenai ketiadaan jangka panjang pemimpin berusia 74 tahun itu dari khalayak ramai.

Duterte memendekkan kunjungannya ke Jepun bulan lalu kerana mengalami ‘kesakitan tidak tertanggung’ pada tulang belakangnya selepas kemalangan motosikal terbaharu dan tidak muncul di khalayak ramai selama dua minggu.

Kemalangan itu berlaku 10 hari selepas beliau mendedahkan pada awal Oktober lalu, dirinya menghidap ‘myasthenia gravis’, sejenis penyakit autoimun yang menyebabkan kelemahan otot serta boleh menjurus kelopak mata mengendur serta penglihatan kabur.

“Jika anda bertanya saya... ‘Adakah kesihatan anda bagus? Sudah tentu tidak. Semua penyakit, saya menghidapnya kerana saya sudah tua. Kehidupan semakin menjejaskan kesihatan saya,” kata Duterte kepada saluran GMA News dalam wawancara Jumaat lalu.

Insiden terbaharu itu memperhebat spekulasi mengenai kapasitinya untuk memimpin walaupun jurucakapnya, Salvador Panelo berulang kali berkata, tiada keperluan mengeluarkan buletin perubatan mengenai tahap kesihatan Duterte.

Jurucakapnya berkata, Duterte memilih untuk bekerja dari tempat asalnya di Davao City di pulau selatan Mindanao sejak seminggu lalu untuk berehat.

Pemimpin tertua di Filipina yang dipilih, Duterte minggu lalu memindahkan kuasa tindakan keras anti-narkotik yang meragut ribuan nyawa kepada Naib Presidennya, Leni Robredo, yang juga pengkritik lantang beliau.

Duterte tidak memberi ucapan umum sejak beliau menyertai sidang kemuncak serantau di Thailand yang berakhir 4 November lalu, tidak lama selepas memendekkan kunjungan ke Jepun, sempena upacara pertabalan Maharaja Naruhito, majlis dihadiri dengan bantuan tongkat.

Sebelum ini, Duterte juga berkata, beliau kerap mengalami migrain dan penyakit Buerger, yang ditunjukkan dengan keradangan salur darah, biasanya akibat merokok.

Perlembagaan Filipina mensyaratkan penyerahan kuasa kepada Naib Presidennya jika Presiden tidak boleh menjalankan tugas akibat kecacatan, peletakan jawatan atau kematian. -AFP

Berita Harian X